Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melawat dan mendengar taklimat perkembangan Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok, Kelantan berdekatan Jambatan Lubok Jong pada 28 Disember 2023. Foto Facebook Bernama
AGENDANASIONAL

PM umum bantuan awal RM50 juta untuk mangsa banjir di Kelantan

SHAH ALAM, 28 DIS: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan peruntukan awal sejumlah RM50 juta untuk membantu mangsa banjir di Kelantan.

Beliau berkata dana daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) akan disalurkan terus kepada mangsa yang terkesan akibat musibah itu, lapor Berita Harian.

“Bagi mangsa banjir yang berada di pusat pemindahan sementara (PPS), setakat ini kita meluluskan peruntukan awal RM50 juta.

“Menerusi peruntukan berkenaan, setiap keluarga akan menerima RM1,000 dan tambahan bantuan lain bergantung pada kerugian yang dialami mangsa banjir,” katanya.

Beliau ditemui selepas melawat PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Lati di sini bersama Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud.

Dalam pada itu, perdana menteri turut berterima kasih kepada semua pihak meliputi jentera kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri yang membantu mangsa banjir.

“Apa yang penting, kita mahu meredakan tekanan yang dialami rakyat akibat banjir,” katanya.

 


Pengarang :