Orang ramai mula mengamalkan pemakaian pelitup muka bagi mengelakkan penularan Covid-19 terutama di sekitar tempat awam ketika tinjauan pada 12 Disember 2023. Foto BERNAMA
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

EXCO kesihatan: Amal langkah pencegahan, elak penularan Covid-19

SHAH ALAM, 29 DIS: Kerajaan Negeri menasihatkan orang ramai mengamalkan TRIIS (uji, lapor, asing, maklum, dapat rawatan) bagi mengelak penularan jangkitan Covid-19.

EXCO Kesihatan Jamaliah Jamaluddin berkata amalan itu perlu dibuat oleh pesakit wabak berkenaan selain kawalan kendiri khususnya ketika berada di kawasan awam.

“Kes Covid-19 dijangka akan meningkat berikutan musim perayaan dan cuti sekolah. Jadi kita mesti sentiasa ambil langkah berjaga-jaga dan elakkan daripada berkumpul di tempat orang ramai.

“Jaga diri dan pakai pelitup muka dan sentiasa menggunakan pembasmi kuman. Dapatkan rawatan sekiranya anda bergejala terutamanya jika ia semakin serius,” katanya menerusi rakaman video di Facebook.

Jamaliah turut menasihatkan golongan berisiko tinggi atau individu yang memiliki rutin berinteraksi dengan orang ramai supaya mendapatkan vaksin Covid-19 sebagai langkah perlindungan.

“Sekiranya anda tergolong dalam individu berisiko tinggi, dapatkan vaksin sebagai dos primer atau dos penggalak yang boleh mengurangkan risiko kematian,” katanya.

Sebelum ini, menteri kesihatan memaklumkan kes Covid-19 bagi minggu epidemiologi ke-51 iaitu bagi tempoh 17 hingga 22 Disember meningkat sebanyak 29.5 peratus.

Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata ia membabitkan jumlah sebanyak 22,413 kes berbanding 17,307 kes yang direkodkan pada minggu sebelumnya.

Ahli Parlimen Kuala Selangor itu turut meramalkan jumlah kes jangkitan wabak Covid-19 dijangka menurun bulan hadapan, berdasarkan pemantauan beberapa kriteria seperti kes kematian dan kemasukan ke unit rawatan rapi (ICU).


Pengarang :