Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) bergambar bersama calon Pakatan Harapan dan Barisan Nasional selepas memenangi pilihan raya negeri ke-15 di Hotel Wyndham, Klang pada 12 Ogos 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Menang demi rakyat, kuasa politik untuk kesejahteraan semua

Foto HAFIZ OTHMAN

Tahun 2023 bermula era baharu di Putrajaya apabila Kerajaan Perpaduan terbentuk selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik perdana menteri pada 24 November 2022.

Ia segera disambut pentadbiran Selangor dengan merancang Kerajaan Perpaduan di peringkat negeri, kerjasama Pakatan Harapan (HARAPAN) bersama Barisan Nasional (BN), khususnya menjelang pilihan raya negeri pada Ogos.

Dalam detik bersejarah itu, HARAPAN bersama BN menentang Perikatan Nasional. Walau saingannya sengit, seperti juga pilihan raya umum 19 November 2022, parti Kerajaan Perpaduan kekal menguasai Selangor.

Dato’ Seri Amirudin Shari diberi amanah mengetuai Kerajaan Negeri buat penggal kedua pada 21 Ogos.

Dengan kerjasama HARAPAN-BN itu, buat julung kali, pemimpin BN dan bekas Ketua Pembangkang Datuk Rizam Ismail diangkat sebagai EXCO bagi portfolio kemajuan luar bandar, kemampanan kampung tradisi dan perpaduan nasional.

Usaha memupuk perpaduan ini sejajar pula dengan titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj yang menggesa pemimpin politik menjaga keharmonian kaum dan mengelak perpecahan rakyat.

Pemilihan Amirudin sebagai peneraju Kerajaan Negeri membolehkan wawasan, strategi dan program pembangunan penggal lalu diteruskan dengan lancar, khususnya Rancangan Selangor Pertama (RS-1), dasar lima tahun hingga 2025.

Tahun 2023 juga mencatat pencapaian menarik apabila Selangor muncul penyumbang makin penting kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) apabila merekod 25.5 peratus pada 2022 berbanding 24.8 peratus tahun sebelumnya.

Rizab negeri pula cukup kukuh, mencecah RM3.71 bilion (setakat 9 November). Dengan kekuataan itu, Selangor mahu melangsaikan sepenuhnya baki hutang dengan Kerajaan Persekutuan sebanyak lebih RM19 juta.

Kestabilan Kerajaan Perpaduan di Selangor membolehkan pembangunan semula Kompleks Sukan Shah Alam di atas lebih 80 hektar diteruskan. Selain kemudahan rekreasi untuk orang ramai, ia memuatkan masjid, ruang niaga dan hotel.

Kebenaran untuk kerja perobohan stadium bersejarah itu, yang rosak sejak banjir 2006, diperolehi daripada Majlis Bandaraya Shah Alam pada 22 Disember dan dijangka siap menjelang 2026.

Namun bukan sahaja kerancakan ekonomi dan kegiatan sukan diberikan perhatian. Kerajaan turut mengukuhkan kefahaman agama melalui pengajian kitab tersohor seperti Festival Turath Islami Selangor selama seminggu mulai 20 Mei.

Lembah Klang Raya

Selain mengadakan pengajian kitab turath (warisan) ke seluruh daerah mulai tahun depan, Selangor juga mahu meningkatkan pengajian Islam melalui kerjasama dengan Universiti Al-Azhar.

Manakala terjemahan lengkap Ihya’ Ulumuddin, kitab ulung Imam al-Ghazali, sudah bermula sejak awal tahun. Usaha ini pula lanjutan Siri Pencerahan Selangor, projek terjemahan lebih 70 karya penting dunia sejak 2016.

Selain bidang agama dan pemikiran, ekonomi dan sukan, Kerajaan Negeri sedang menyusun semula kehidupan bandar dan luar bandar khususnya empat pihak berkuasa tempatan (PBT): Petaling Jaya, Subang Jaya, Shah Alam dan Klang.

Bagi memastikan keselesaan 3.4 juta warga kota di empat bandar raya ini, Kerajaan Negeri merancang beberapa langkah penting termasuk Enakmen Lembah Klang Raya.

Idea menyusun pentadbiran itu antara lebih 50 program dalam manifesto parti Kerajaan Perpaduan ketika pilihan raya negeri Ogos lalu. Tanpa lengah, ia terus dibentang dalam Belanjawan Selangor 2024.

Untuk meningkatkan lagi perkhidmatan, Suruhanjaya Pihak Berkuasa Tempatan akan dibahas di Dewan Negeri Selangor tahun depan. Sasarannya jelas, PBT harus mampu berkhidmat dengan pantas, boleh bertindak dalam tempoh 24 jam selepas aduan.

Begitu juga dua daerah penting di selatan dan utara Selangor. Selain memajukan projek Gerbang Maritim Selangor (SMG) di sepanjang Sungai Klang, Kerajaan Negeri melaksanakan projek pembangunan Wilayah Pembangunan Bersepadu di Selangor Selatan (IDRISS) dan Kawasan Pembangunan Sabak Bernam (SABDA).

Semuanya ini untuk rakyat Selangor. Kuasa politik untuk kesejahteraan semua. Kerajaan Negeri mengotakan slogan pentadbirannya Kita Selangor, Maju Bersama.

 


Pengarang :