Aliran trafik di lebuh raya utama pada pagi 24 Disember 2023 terkawal dan tiada kesesakan luar biasa. Foto Facebook BERNAMA
AGENDANASIONAL

Lebih 8,000 kes kemalangan direkodkan sepanjang lima hari cuti Krismas

SHAH ALAM, 29 DIS: Sebanyak 8,028 kes kemalangan direkodkan dalam tempoh lima hari cuti perayaan Krismas, maklum pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman.

Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata jumlah itu termasuk 75 kemalangan maut, 29 kecederaan parah dan 303 kecederaan ringan yang direkodkan sejak 22 hingga 26 Disember lalu.

“Kemalangan melibatkan kerosakan kenderaan adalah sebanyak 7,621 kes manakala yang lain adalah rempuhan kecil,” katanya seperti dilapor The Star hari ini.

Menurut Mohd Azman, lebih 9.8 juta kenderaan berada di jalan raya sepanjang tempoh berkenaan, dengan Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) merekodkan jumlah tertinggi.

Tambahnya, Lebuhraya Karak dan Lebuhraya Pantai Timur (LPT1) menyaksikan 1.2 juta kenderaan di kedua-dua laluan dalam tempoh yang sama.

“Di lebuh raya PLUS, 2.03 juta kenderaan berada di jalan raya pada 22 Disember, diikuti 2.01 juta pada 23 Disember, 1.82 juta (24 Disember), 1.72 juta (25 Disember) dan 1.95 juta (26 Disember),” katanya.

Sempena musim cuti ini, Mohd Azman berkata polis melancarkan Ops Lancar di seluruh negara membabitkan lokasi yang dikenal pasti sebagai kawasan tumpuan kesesakan.

Katanya, semua anggota ditugaskan untuk memantau dan membantu mengawal aliran trafik, manakala anggota di negeri dan daerah memantau jalan persekutuan, negeri dan bandar.


Pengarang :