DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan bertitah sempena Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam, Masjid Negeri, Shah Alam pada 6 Oktober 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Selaku pengerusi MKI, Sultan Selangor titah jangan campur urusan Islam

SHAH ALAM, 29 DIS: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah mengingatkan semua rakyat termasuk pemimpin bukan Islam agar tidak mencampuri urusan hal ehwal Islam di Malaysia.

Selaku pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI), Baginda menitahkan demikian susulan cadangan Ahli Parlimen Beruas Datuk Ngeh Koo Ham agar pakar bukan Islam dilantik untuk membantu Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Untuk Menggubal Undang-Undang Islam.

“Baginda juga bertitah bahawa MKI, yang dipengerusikan oleh Baginda, memegang amanah dan tanggungjawab bagi melaksanakan segala hal ehwal berkaitan umat Islam.

“MKI juga dianggotai olen pakar-pakar yang arif dalam pelbagai bidang khususnya yang melibatkan undang-undang dan agama Islam,” kenyataan di Facebook Selangor Royal Office hari ini dipetik.

“Justeru, Baginda mengharapkan agar orang-orang politik khususnya yang bukan beragama Islam untuk tidak terus-menerus mencampuri urusan hal ehwal agama Islam.

“Malah, penganut agama-agama lain seharusnya mencontohi umat Islam yang tidak mencampuri hal ehwal agama lain di Malaysia.”

Untuk menegaskan lagi titah Baginda, Sultan Selangor berkenan memetik ayat keenam surah al-Kafirun yang bermaksud: “Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku”.

Kenyataan pemimpin DAP itu bagaimanapun sudah dijelaskan oleh Setiausaha Agungnya Anthony Loke hari ini yang menyifatkan Ngeh terkhilaf dalam memahami persoalan tersebut.

“DAP menghormati kebijaksanaan Tuanku Sultan Selangor dalam membuat sebarang keputusan mengenai urusan MKI,” kata Loke dalam kenyataannya.

“Masyarakat bukan Islam juga tidak perlu bimbang dalam perkara ini kerana jika sebarang pindaan undang-undang yang membabitkan hak bukan Islam, ia perlu diperhalusi dan diputuskan jemaah menteri dan seterusnya proses seperti biasa perlu dilaksanakan di Parlimen.”

Dalam kenyataan di media sosial yang sama, Baginda mengambil maklum kenyataan Loke itu, yang turut menggesa tahun ini diakhiri dengan semangat harmoni dan menyumbang kepada kesejahteraan negara.


Pengarang :