Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap kepada media selepas melawat galeri sejarah Pusat Pendidikan Hafiz sempena majlis Sambutan 40 Tahun Jubli Delima Pusat Pendidikan Hafiz dan Anugerah Kualiti Pelajar Cemerlang di Wisma Hafiz, Klang pada 21 Oktober 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB junjung titah Sultan, Koo Ham sewajarnya teliti sebelum beri cadangan

SHAH ALAM, 30 DIS: Dato’ Menteri Besar menjunjung kasih di atas kebijaksanaan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj melalui titah baginda terhadap cadangan Ahli Parlimen Beruas yang menyentuh urusan agama Islam.

Dato’ Seri Amirudin Shari dalam kenyataan hari ini berkata Datuk Ngeh Koo Ham selaku ahli politik berpengalaman sewajarnya lebih berhati-hati ketika mengeluarkan kenyataan khususnya berkaitan hal ehwal Islam.

“Kewenangan pengurusan agama Islam yang menjadi prerogatif khusus sesebuah negeri melalui payung Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Raja Raja Melayu, sewajarnya difahami tanpa sebarang dakwa-dakwi yang memungkinkan penyelewengan tafsir berlaku sehingga mencetus keresahan yang tidak perlu.

“Ahli Parlimen Beruas selaku ahli politik berpengalaman, malah pernah menjadi Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak sewajarnya meneliti semula kapasiti pembicaraan beliau khususnya berhubung isu-isu melibatkan hal ehwal agama Islam, sementelah beberapa kali polemik yang berlegar pada skop yang sama dicetuskan beliau terdahulu,” katanya.

Semalam, Sultan Selangor selaku Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) bertitah mengingatkan semua rakyat termasuk pemimpin bukan Islam agar tidak mencampuri urusan hal ehwal Islam di Malaysia.

Sultan Sharafuddin menitahkan demikian susulan cadangan Koo Ham agar pakar bukan Islam dilantik untuk membantu Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Untuk Menggubal Undang-Undang Islam.

Baginda bertitah bahawa MKI memegang amanah dan tanggungjawab bagi melaksanakan segala hal ehwal berkaitan umat Islam serta dianggotai oleh pakar-pakar yang arif dalam pelbagai bidang khususnya melibatkan undang-undang dan agama Islam.

Dalam kenyataan sama, Amirudin berkata tindakan Koo Ham hanya membebani parti beliau yang pada ketika ini berada pada tahap terbaik untuk sama-sama memperjuangkan agenda Malaysia Madani melalui Kerajaan Perpaduan.

“Upaya Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang istiqamah dan tegas dalam memperihalkan perkara berkaitan agama Islam dan hal ehwal Melayu perlu disambut dengan adab, bijak dan cakna oleh setiap ahli politik khususnya ahli-ahli Parlimen.

“Seyogia titah Sultan Selangor hadir tepat masanya sekali gus perlu menjadi titik noktah kepada mana mana Ahli Politik yang gagal memahami realisme politik Malaysia dalam cakupan yang menyeluruh,” katanya.

 


Pengarang :