Rata-rata peniaga di Zon Bebas Cukai Rantau Panjang, Kelantan pada 30 Disember 2023 memilih untuk melelongkan barangan niaga bagi menampung kerugian akibat banjir yang melanda kawasan itu. Foto Facebook BERNAMA
AGENDANASIONAL

Peniaga lelong barang jualan pada harga murah , tampung rugi akibat bah

PASIR MAS, 30 DIS: Peniaga di Zon Bebas Cukai Rantau Panjang, di sini melelong barangan jualan mereka yang terkena air banjir pada harga murah bagi menampung kerugian.

Hal itu menjadikan pusat bandar Rantau Panjang hari ini meriah apabila pengunjung datang berpusu-pusu.

Samsiah Abdullah, 60, yang menjual pakaian wanita berkata dia memutuskan untuk melelong sebahagian barangan dengan harapan dapat menampung kerugian dan menggunakan wang itu bagi membaiki rumahnya yang terjejas banjir.

“Rugi sebenarnya, tetapi kalau saya nak simpan pun tidak boleh juga… jadi lebih baik saya lelongkan.

“Alhamdulillah orang sanggup beli sebab murah. Walaupun tidak balik modal, sekurang-kurangnya bolehlah saya tampung kerugian yang dialami,” katanya kepada Bernama hari ini.

Menurut Samsiah dia tidak sempat menyelamatkan semua barang jualannya kerana air naik mendadak dan tinggi.

“Saya hanya sempat alih sedikit sahaja barang jualan ke tempat lebih tinggi sebab saya perlu bergegas balik ke rumah, saya risau saya terperangkap di sini kalau saya tidak keluar cepat,” katanya.

Peniaga barangan keperluan rumah, Nuriha Muhammad, 37, pula tidak menyangka ramai berkunjung ke kawasan itu hari ini dan menganggapnya sebagai suatu rahmat disebalik musibah dialami.

“Alhamdulillah, ramai orang datang. Ada juga pengikut saya menerusi TikTok yang datang dari jauh, ada yang datang dari Melaka dan Terengganu untuk membantu kami di sini,” katanya.

Peniaga pakaian sukan yang hanya mahu dikenali sebagai Ruby pula berkata bencana itu memberi peluang buat dirinya bersedekah dengan menjual seluar sukan pada harga RM50 untuk empat helai.

“Biasanya saya jual pada harga RM35 sehelai tetapi saya tahu ramai yang memerlukan. Jadi saya niat bersedekah, walaupun sebenarnya kebanyakan seluar itu tidak kena air banjir pun,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :