Deretan mayat warga Palestin di pekarangan hospital Nasser di Khan Younis di selatan Semenanjung Gaza pada 9 Disember 2023. Foto REUTERS
AGENDAGLOBAL

Gaza: Puluhan ribu orang berteduh di pusat perlindungan diancam penyakit

GAZA, 30 DIS: Ancaman penyakit semakin meningkat di pusat perlindungan sementara di Semenanjung Gaza dengan puluhan ribu orang tinggal dalam keadaan bersesak, menurut Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada Sabtu.

Perkhidmatan kesihatan di kawasan berkenaan sudah sekian lama terbeban dan gelombang pemindahan baharu yang diarahkan tentera Israel telah menjadikan tugas mereka lebih sukar.

Jangkitan pernafasan dan cirit-birit adalah antara penyakit paling banyak dilaporkan di pusat perlindungan kecemasan, kata ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus di platform media sosial X pada Jumaat, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Kira-kira 180,000 orang menderita jangkitan pernafasan manakala lebih 136,000 kanak-kanak di bawah umur lima tahun mengalami cirit-birit yang boleh mengancam nyawa jika tidak dirawat.

Terdapat juga lebih 55,000 kes kutu dan kudis.

Menurut OCHA, Tabung Kanak-kanak PBB telah menghantar 600,000 dos vaksin ke Semenanjung Gaza pada Jumaat.

Matlamatnya adalah untuk kanak-kanak menerima imunisasi rutin pada tahun depan walaupun dilanda perang. Imunisasi itu, termasuk difteria, tetanus dan batuk kokol.

— BERNAMA-dpa


Pengarang :