Dato’ menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyaksikan gimik pelancaran kad sim khas sempena program Panggilan Intifada Doa Untuk Palestin di tapak karnival Stadium Shah Alam pada 30 Disember 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

MB sertai program Panggilan Intifada, bersolidariti kepada rakyat Palestin

SHAH ALAM, 30 DIS: Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bersama hampir 500 orang ramai menyertai program Panggilan Intifada Doa Untuk Palestin malam ini sebagai tanda solidariti kepada penduduk Palestin.

Berlangsung di tapak karnival Stadium Shah Alam, program yang disertai beberapa artis antaranya Ella, Hijjaz dan Kaka Azraf turut dihadiri Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) Mohd Azmi Abdul Hamid.

Amirudin berkata program berkenaan merupakan sebahagian daripada acara ambang tahun baharu 2024 yang kemuncaknya disambut esok menerusi program Darul Ehsan Berselawat 3.0.

Dato’ menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap sempena program Panggilan Intifada Doa Untuk Palestin di tapak karnival Stadium Shah Alam pada 30 Disember 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Ini sebahagian kaedah kita menaikkan semangat menjelang tahun baharu sesuai dengan keadaan semasa terutama yang menimpa sahabat saudara mara kita di Palestin.

“Hari ini mereka bukan hanya berdepan krisis kesusahan dan kepayahan tetapi kematian yang mungkin datang tiba-tiba.

“Semangat dan kecekalan mereka mempertahankan kedaulatan Palestin patut dicontohi dan dijadikan pedoman serta pengajaran,” katanya berucap di majlis berkenaan.

Penyanyi terkenal Ella menghiburkan pengunjung ketika program Panggilan Intifada Doa Untuk Palestin di tapak karnival Stadium Shah Alam pada 30 Disember 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Amirudin berharap penindasan Israel ke atas penduduk Gaza segera berakhir sekali gus membebaskan Palestin setelah sekian lama dijajah rejim Zionis.

“Pada awalnya ramai merasakan bumi Gaza akan lenyap, tetapi sampai hari ini penduduk berterusan mempertahan kedaulatan negara.

“Hari ini mereka buka mata seluruh dunia, bukan hanya umat Islam bersolidariti dengan mereka,” katanya.

Kumpulan nasyid Hijjaz menghiburkan pengunjung ketika Program Panggilan Intifada Doa Untuk Palestin di tapak karnival Stadium Shah Alam pada 30 Disember 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Setakat Rabu, seramai 21,110 nyawa penduduk Palestin terkorban akibat jenayah perang dilakukan Zionis sejak 7 Oktober.


Pengarang :