BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Pengurusan ekonomi negara makin pulih, raih pelaburan tinggi

Oleh FARIDZWAN ABDUL GHAFAR

Permintaan domestik dan perbelanjaan isi rumah memacu pertumbuhan ekonomi negara tahun ini. Perbelanjaan isi rumah disokong peningkatan gaji dan peluang pekerjaan.

Dua faktor berkenaan mendorong ekonomi berkembang mengikut unjuran sekitar empat peratus.

Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku ketiga 2023 mencatat pertumbuhan sebanyak 3.3 peratus berbanding 2.9 peratus pada suku kedua 2023.

Kenyataan Bank Negara pada 17 November menyebut, pelaburan disokong pelaksanaan projek dan pengembangan sektor swasta.

Eksport perlahan lantaran pengurangan permintaan dari luar, namun diatasi menerusi pemulihan industri pelancongan.

Sektor perkhidmatan, pembinaan dan pertanian terus bertumbuh, kecuali pembuatan merosot kerana permintaan produk elektrik dan elektronik menyusut selain pengeluaran rendah produk hiliran petroleum.

Antara Januari hingga November, perdagangan susut 7.5 peratus kepada RM2.413 trilion berbanding tempoh sama tahun lalu apabila eksport kurang 7.8 peratus kepada RM1.308 trilion. Import turun 7.1 peratus kepada RM1.105 trilion dan lebihan dagangan merosot 11.3 peratus kepada RM202.49 bilion.

Prestasi berkenaan seiring rakan dagang utama lain seperti Taiwan, China dan Indonesia yang merekodkan pertumbuhan perdagangan negatif pada November 2023 serta pengurangan import global.

Perdana menteri dalam belanjawan persekutuan 2024 pada 29 November berkata pengurusan ekonomi negara baik dengan petunjuk ekonomi positif.

Tahap pengangguran diturunkan 3.4 peratus setakat September 2023, iaitu terendah hampir menyamai kadar sebelum Covid-19 iaitu 3.3 peratus.

Anwar yang juga menteri kewangan berkata kerajaan meraih komitmen pelaburan bernilai RM347 bilion.

Ia diperoleh melalui lawatan ke negara seperti China, Singapura, Jepun, Korea Selatan, Emiriah Arab Bersatu, Arab Saudi dan Amerika Syarikat.

Bagi separuh pertama 2023, kerajaan meluluskan pelaburan bernilai RM132.6 bilion iaitu melebihi 60 peratus daripada sasaran tahun ini.

Tekanan inflasi terkawal daripada empat peratus tahun lalu, kini setakat Oktober 2023, kadar inflasi hanya 1.8 peratus. Inflasi produk makanan dan minyak terus menurun.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menunjukkan buku Belanjawan 2023 Malaysia Madani ketika hadir di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur pada 24 Februari 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Prestasi ringgit

Sektor perkhidmatan terpilih termasuk penghantaran makanan dari rumah, perbelanjaan di restoran dan kafe dan pembaikan dan penyenggaraan kenderaan menyumbang paras inflasi sederhana.

Timbalan Menteri Kewangan I Datuk Seri Ahmad Maslan pada 23 Oktober di Parlimen berkata, inflasi semakin menurun sekali gus kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) tidak lagi relevan.

Ringgit berada paras terendah sejak Krisis Kewangan Asia pada 19 September. Mata wang tempatan pada paras RM4.7635 berbanding 1 dolar Amerika Syarikat (AS), paling lemah sejak 1998.

Tidak mencerminkan asas ekonomi negara, nilai ringgit tidak menentu disebabkan faktor luaran termasuk ketegangan di Asia Barat yang mempengaruhi prestasi mata wang serantau.

Ahmad dipetik berkata faktor lain mendorong penurunan nilai ringgit tahun ini ialah jangkaan Kadar Dana Persekutuan (FFR) AS akan kekal lebih tinggi untuk tempoh lebih lama.

Rizab Persekutuan (Fed) AS berusaha mengawal inflasi pada kadar 3.7 peratus, sudah menaikkan FFR kepada 5.5 peratus. OPR Malaysia pada kadar tiga peratus.

Pada masa sama, Bank Rakyat China melonggar dasar monetari untuk mengatasi kelembapan ekonomi negara berkenaan yang menjejaskan sentimen pelabur.

Ringgit menyusut 0.2 peratus berbanding dolar AS. Penyusutan turut dialami mata wang serantau berbanding mata wang utama dunia itu.

Bagaimanapun, ringgit meningkat 1.4 peratus berbanding mata wang utama lain.

Pasaran ekuiti tempatan terjejas oleh cabaran luaran dalam tempoh lapan bulan pertama 2023.

Pada akhir Disember 2022 sehingga 14 Mac, Indeks Komposit Kuala Lumpur FTSE Bursa Malaysia (FBM KLCI) menyusut 6.8 peratus dan ditutup pada 1,393.83 mata iaitu di bawah paras psikologi 1,400 mata.

Pada Mei, kenaikan kadar OPR, kebimbangan krisis perbankan AS, rundingan siling hutang AS dan pilihan raya enam negeri menyebabkan pelabur defensif dan meningkatkan aktiviti pengambilan untung.

Sentimen baik

Aktiviti ekonomi perlahan di Eropah dan pendapatan korporat domestik lemah menambahkan kebimbangan. Akibatnya, FBM KLCI ditutup rendah pada paras 1,387.12 mata pada akhir Mei.

Berkuat kuasa 13 Julai, kerajaan mengurangkan duti setem saham didagangkan di Bursa Malaysia daripada 0.15 peratus kepada 0.10 peratus bagi merancakkan pasaran modal domestik.

Sehubungan itu, FBM KLCI pulih dan ditutup tinggi pada 1,459.43 mata pada akhir Julai. Ia dirangsang minat pembelian asing kukuh dan sokongan institusi tempatan serta peningkatan aktiviti memburu saham murah.

Sentimen pasaran semakin baik, menyokong peningkatan indeks kepada 1,462.03 mata pada 9 Ogos.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade, Thong Pak Leng, dilapor berkata pada 19 Disember paras 1,465 mata menjadi paras halangan kukuh.

Beliau menjangkakan jika paras itu dilepasi, indeks Bursa Malaysia kemungkinan mencabar paras 1,500 mata.

Gabenor Bank Negara Datuk Abdul Rasheed Ghaffour menjangkakan ekonomi Malaysia berkembang sekitar empat hingga lima peratus pada 2024.

Pertumbuhan ekonomi terus didukung permintaan domestik di samping pertumbuhan peluang pekerjaan dan pendapatan, khususnya dalam negara.

Prestasi pertumbuhan sejajar pembangunan ekonomi akan menyokong prestasi ringgit. Peningkatan kedatangan dan perbelanjaan pelancong juga dijangka meningkat.

Pelaburan akan disokong pencapaian penyiapan projek infrastruktur dan pelaksanaan inisiatif pemangkin.

Langkah-langkah digariskan belanjawan persekutuan 2024 juga memberi kesan positif aktiviti ekonomi.

Antaranya Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dengan tumpuan sektor pertumbuhan bernilai tinggi serta dijangka memulihkan eksport.


Pengarang :