Sukarelawan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada 31 Disember 2023 bergotong-royong membersihkan kawasan Sekolah Kebangsaan Sungai Las, Setiu yang terjejas banjir baru-baru ini. Foto Facebook BERNAMA
AGENDANASIONAL

Banjir Terengganu pulih sepenuhnya, PPS terakhir ditutup 2 petang tadi

KUALA TERENGGANU, 31 DIS: Banjir gelombang ketiga yang melanda Terengganu bermula 23 Disember lalu kini pulih sepenuhnya.

Menurut sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu (JPBNT), pusat pemindahan sementara (PPS) terakhir di negeri itu iaitu Dewan Serbaguna Taman Perumahan Wakaf Tengah di daerah Kuala Nerus yang menempatkan enam mangsa ditutup 2 petang tadi.

Terdahulu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengeluarkan amaran banjir diramal berlaku secara berperingkat di beberapa kawasan rendah berhampiran sungai iaitu dalam lingkungan lima kilometer (km) di Terengganu bermula 2 pagi Ahad (24 Disember) hingga 2 pagi Selasa (26 Disember).

Bagaimanapun, hujan lebat pada Sabtu (23 Disember) memaksa PPS pertama dibuka lebih awal iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Pusat di Dungun pada 9.30 malam dengan 21 mangsa dipindahkan ke situ.

Marang seterusnya menjadi daerah kedua dilanda banjir pada hari sama (Sabtu) apabila 12 orang daripada tiga keluarga terpaksa mencari perlindungan di PPS Dewan Sivik Wakaf Tapai yang dibuka 10 malam.

Hujan lebat berterusan menyaksikan satu demi satu daerah di Terengganu mula menerima tempias musibah itu dan Kuala Terengganu menjadi penggenap lapan daerah di negeri berkenaan dilanda banjir iaitu pada Selasa (26 Disember).

Bilangan mangsa banjir tertinggi juga dicatatkan pada 26 Disember iaitu 10,643 orang daripada 2,913 keluarga yang berlindung di 134 PPS.

Banjir itu juga mengejutkan ramai pihak apabila gugusan Felda Rasau Kerteh di Ketengah Jaya, Dungun dilanda bencana berkenaan buat kali pertama dalam tempoh 40 tahun menyebabkan 260 mangsa dipindahkan ke PPS.

Setelah beberapa hari menyaksikan pertambahan angka mangsa banjir, gelombang ketiga bah di Terengganu mula menunjukkan tanda pengurangan pada Rabu lalu apabila bilangan mangsa yang direkodkan JPBNT berada di bawah 10,000 orang.

Khamis lalu, Besut menjadi daerah pertama pulih banjir apabila semua PPS di daerah itu ditutup, diikuti Kuala Terengganu, Kemaman, Setiu, Hulu Terengganu, Marang, Dungun dan Kuala Nerus pada hari ini.

– BERNAMA


Pengarang :