Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Damansara Muhammad Izuan Ahmad Kasim melawat reruai dan beramah bersama pengunjung ketika Majlis Perasmian Karnival Kesihatan Penjagan Pemakanan Anjuran Diet Ideas dengan Kerjasama MBI di Kota Damansara, Petaling Jaya 9 Disember 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

ADN Kota Damansara azam selesai isu kemudahan, kebajikan

SHAH ALAM, 31 DIS: Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Damansara berazam menyelesaikan beberapa isu infrastruktur demi keselesaan warga kawasan itu.

Muhammad Izuan Kasim berkata antara yang menjadi fokus utama adalah menyelesaikan jalan terputus antara Subang Bestari dan Kwasa Land yang tertangguh lebih 15 tahun.

“Laluan itu sepatutnya disiapkan oleh pemaju namun ia gagal dibina kerana beberapa perkara. Justeru penduduk terpaksa melalui jalan satu hala yang sesak.

“Tahun hadapan kita akan duduk berbincang dengan semua pihak supaya pembinaannya dapat dilaksanakan segera. Ia mungkin menelan kos antara RM10 juta hingga RM15 juta,” katanya kepada Selangorkini.

Muhammad Izuan juga mahu memberi tumpuan kepada isu kemasyarakatan khususnya hal kebajikan penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan pangsapuri.

Menurutnya, terdapat dua projek pembinaan masjid yang masih tertangguh di DUN itu iaitu Masjid Kota Damansara 2 dan masjid di Subang Bestari.

“Sebagai contoh, Masjid Kota Damansara 2 sudah dirancang namun pembinaannya masih belum dimulakan. Masjid di Subang Bestari pula mengalami kelewatan untuk disiapkan,” katanya.

Muhammad Izuan merupakan antara calon termuda yang bertanding pada pilihan raya negeri (PRN) lalu. Beliau meraih 34,628 undi menewaskan calon Perikatan Nasional (PN) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM).


Pengarang :