Orang ramai membeli barangan barangan keperluan asas murah ketika program Jualan Ehsan Rahmah peringkat DUN Sementa di Dewan Serbaguna Dato Ahmad Razali, Klang pada 31 Disember 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Lebih 30,000 penduduk DUN Sementa manfaat jualan murah

KLANG, 31 DIS: Lebih 30,000 penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sementa menerima manfaat program Jualan Ehsan Rahmah (JER) sepanjang tahun ini.

Ahli Majlis Zon N43C Majlis Perbandaran Klang (MPK), N.S Muthumariammah berkata penganjuran program dikendali Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) sentiasa mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk.

“Setiap kali dianjurkan penduduk mesti hadir kerana mahu mendapatkan barangan keperluan harian pada harga murah berbanding pasaran.

Ahli Majlis zon N43C, N.S Muthumariammah ketika Program Jualan Ehsan Rahmah Dun Sementa di Dewan Serbaguna Dato Ahmad Razali, Klang pada 31 Disember 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“Penduduk sanggup datang seawal jam 7.30 pagi untuk mendapatkan nombor giliran. Malah, ada juga yang menyatakan supaya program ini diteruskan kerana membantu meringankan beban.

“Pada hari ini, program jualan bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang membawa barangan dapur lain seperti bawang dan kentang pada harga murah,” katanya ditemui di program tersebut di Dewan Serbaguna Dato Ahmad Razali di sini, hari ini.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Pertubuhan Rekreasi dan Kebajikan Amal Klang, Chris Yap berkata pihaknya membawa 500 set bawang merah, putih dan kentang yang dijual pada harga RM10 sahaja.

“Kami mengambil inisiatif ini kerana mahu meringankan beban rakyat sekali gus menyokong kerajaan Madani dan penganjuran jualan yang menawarkan harga berpatutan.

AJK Pertubuhan Rekreasi dan Kebajikan Amal Klang, Chris Yap ketika Program Jualan Ehsan Rahmah Dun Sementa di Dewan Serbaguna Dato Ahmad Razali, Klang pada 31 Disember 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“Sambutan diterima amat baik dan telah terjual lebih 100 set dalam tempoh satu jam. Rata-rata penduduk tidak percaya harganya yang agak murah kerana dipasaran mencecah RM13,” katanya.

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 setiap pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM13).

Program jualan dianjurkan di lokasi terpilih pada setiap hari kecuali Jumaat dan cuti umum, selain menjalin kerjasama dengan Segi Fresh bagi memperluas capaian kepada penduduk setempat.


Pengarang :