Orang ramai membeli barangan asas dalam program Jualan Ehsan Rahmah DUN Sementa di Dewan Serbaguna Dato Ahmad Razali, Klang pada 31 Disember 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Jualan murah dihenti seketika, kembali beroperasi 15 Januari dengan produk tambahan

KLANG, 31 DIS: Program Jualan Ehsan Rahmah (JER) kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) berehat seketika bagi memberi laluan untuk penyelenggaraan dan pengiraan semula kuantiti produk.

Pengurus kanan pemasarannya (Produk OEM & Eksport) berkata program jualan barangan asas murah dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) itu akan kembali beroperasi 15 Januari depan.

Md Fazir Abdul Latif berkata hari ini merupakan program terakhir sebelum bercuti seketika.

“Tahun depan, akan ada penambahbaikan daripada segi kuantiti dan tambahan produk termasuk membawa beras import bagi memberi peluang mereka yang mampu membelinya.

Pengurus Kanan Pemasaran (Produk Oem & Eksport) PKPS, Md Fazir Abdul Latif ditemui ketika Program Jualan Ehsan Rahmah DUN Sementa di Dewan Serbaguna Dato Ahmad Razali, Klang pada 31 Disember 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“Secara keseluruhan, jualan membawa barangan keperluan asas ini telah menjelajah ke 3,088 lokasi sejak September lalu hingga hari ini,” katanya ditemui dalam program di Dewan Serbaguna Dato Ahmad Razali di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan PKPS kini memiliki produk daging lembu sendiri dibawah jenama Ehsan yang dibawa khas dari India.

“PKPS berjumpa sendiri dengan pengeluar bagi menjalankan pemeriksaan dan memastikan status halal terjamin.

“Lebih 1,500 karton dibawa sejak awal bulan ini dan mendapat sambutan pengunjung kerana produk berkualiti serta harganya murah,” katanya.

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM13).

Orang ramai membeli barangan basah ketika Program Jualan Ehsan Rahmah Dun Sementa di Dewan Serbaguna Dato Ahmad Razali, Klang pada 31 Disember 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Pengarang :