Harimau Malaya pasukan ketiga di dunia paling tinggi melonjak kedudukan (ranking) Persekutuan Bolasepak Dunia (FIFA) sepanjang tahun ini, di belakang Panama dan Moldova.
Skuad kendalian Kim Pan Gon melangkah 15 anak tangga untuk berada kedudukan ke-130, peningkatan tertinggi dalam kalangan negara Asia.
Prestasi Malaysia sebelum ini suram terutama 2018 apabila merekod kedudukan ke-187, terendah dalam sejarah. Pencapaian terbaik tempat ke-75 pada 1993.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/10/bola-500x333.jpg.webp)
Skuad negara juga mempamer aksi memukau dalam kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 pada November. Memungut mata maksimum dalam pusingan pertama, mereka menewaskan Kyrgyzstan meski ketinggalan dua gol.
Rata-rata peminat teruja, bahkan ada mula mencongak peluang untuk layak ke kejohanan paling berprestij itu meski perjalanan masih jauh.
Malaysia berpeluang ke pusingan ketiga menempatkan gergasi Asia termasuk Jepun dan Korea Selatan jika menjadi dua pasukan teratas pusingan kedua. Lapan slot automatik disediakan untuk Asia.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2021/06/qabil-ambak-500x357.jpg)
Dalam Sukan Asia di Hangzhou, China pada September, jaguh ekuestrian Mohd Qabil Ambak Mahamad Fathil menamat penantian 25 tahun apabila meraih emas acara dressage individu, pertama kali dimenangi negara sejak acara itu diperkenal pada 1986.
Atlet berusia 43 tahun yang berkecimpung selama 28 tahun menyumbang satu emas, tiga perak dan empat gangsa sepanjang penyertaannya dalam temasya sama.
Olahraga cemerlang
Olahraga juga menyaksikan kecemerlangan atlet pada pentas dunia khususnya Shereen Samson Vallabouy yang meraih gangsa acara 400 meter (m) dalam Sukan Asia di Hangzhou, China.
Kejayaan tersebut mengulangi pencapaian ibunya Josephine Mary pada 1986 sekali gus mengakhiri kemarau pingat acara itu selama 17 tahun.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/05/Picture7-2-500x312.png.webp)
Shereen, 25, juga memadam rekod kebangsaan milik G Shanti sejak 1998 dalam acara 200m selain mengatasi catatan berusia 30 tahun milik Rabia Abdul Salam dalam acara 400m.
Beliau juga memecahkan rekod 400m dalam dewan ketika memenangi emas Kejohanan Trek dan Balapan Dalam Dewan Divisyen II Persatuan Olahraga Kolej Kebangsaan di Virginia, Amerika Syarikat.
Dalam sukan berbasikal, Malaysia meraih empat emas dalam Piala Berbasikal Trek Antarabangsa Hong Kong pada Mei. Selain Datuk Azizulhasni Awang yang mengungguli acara pecut dan keirin, pelumba muda Nurul Izzah Izzati Mohd Asri turut menuai emas dalam acara pecut.
Sebulan sebelumnya, gadis kelahiran Jitra, Kedah itu memecahkan rekod kebangsaan acara sama dalam pusingan kelayakan Kejohanan Piala Negara-Negara Kesatuan Berbasikal Antarabangsa di Kanada.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2022/07/FW1245850_NS02_06072022_IZZATI_KOMANWEL-500x333.jpg)
Selain memadam catatan rakan sepasukan Anis Amira Rosdi itu, Nurul Izzah Izzati juga memecah rekod kebangsaan milik ratu trek negara Fatehah Mustapa dalam Kejohanan Berbasikal Trek Asia pada Jun.
Muhammad Fadhil Mohd Zonis, Muhammad Ridwan Sahrom dan Umar Hasbullah pula menang gangsa acara pecut berpasukan di Sukan Asia, Hangzhou.
Tidak ketinggalan, Natasha Roslan menjuarai Kejohanan Tenpin Boling Dunia di Kuwait pada Oktober. Beliau anak Malaysia ketiga merangkul gelaran itu selepas Esther Cheah di Aalborg, Denmark pada 2005 dan Jacqueline Sijore di Hong Kong (2011).
Dalam sukan muay thai, nama petarung muda Johan ‘Jojo’ Ghazali kian meniti di bibir peminat apabila menumbangkan Edgar Tabares dalam masa 36 saat menerusi pukulan ‘knockout’.
Berusia 17 tahun, beliau menumpaskan juara Muay Thai Antarabangsa WBC itu ketika penampilan sulungnya di Primetime US, ONE Championship pada 9 Disember.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/12/JOJO2-500x333.jpg.webp)
Atlet sukan para juga tidak kurang hebatnya. Mereka mengharumkan nama Malaysia apabila meraih tujuh emas, perak 15 dan gangsa 17 dalam temasya Sukan Para Asia di Hangzhou sekali gus melepasi sasaran 35 pingat.
Mereka juga mencatat beberapa rekod baharu kejohanan antaranya powerlifting. Jaguh negara Bonnie Bunyau Gustin angkatan 230 kilogram (kg) bagi acara 72kg sekali gus melebur rekod 229kg milik atlet Iran Roohallah Rostami.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2021/08/powerlifting-500x333.jpg)