Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menunjukkan prestasi dan hasil ekonomi negeri ketika Jelajah Selangor Penyayang daerah Sepang di Kota Warisan, Sepang pada 30 Oktober 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

MB: Selangor rekod kutipan hasil RM2.7 bilion tahun lepas, lebihi sasaran

SHAH ALAM, 1 JAN: Selangor mengutip hasil RM2.7 bilion setakat 31 Disember sekali gus melebihi sasaran ditetapkan.

Dato’ Menteri Besar berkata ekonomi negeri berkembang baik melalui Rancangan Selangor Pertama (RS-1) susulan pelaksanaan projek Pembangunan Kawasan Sabak Bernam (SABDA).

Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari, projek lain termasuklah Wilayah Pembangunan Bersepadu Selangor Selatan (IDRISS), Gerbang Maritim Selangor (SMG) dan pelabuhan Pulau Carey.

“Alhamdulillah, tahun 2023 telah menemukan kita dengan pelbagai peristiwa dan pencapaian yang membanggakan negeri Selangor serta kehidupan penduduknya.

“Ini semestinya kejayaan bersama yang disumbangkan oleh semua. Syabas semua!,” tulisnya di laman X hari ini.

Sebelum ini, Amirudin menganggarkan hasil yang boleh dikutip tahun lepas adalah RM2 bilion, dengan penyumbang utama premium tanah sebanyak RM753.72 juta bersamaan 38 peratus daripada anggaran hasil keseluruhan.

Orang ramai tidak melepaskan peluang mendapatkan barangan asas pada harga murah ketika program Jelajah Ehsan Rakyat DUN Bandar Utama di Kampung Cempaka, Petaling Jaya pada 1 April 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Dalam pada itu, beliau berkata rakyat negeri ini menikmati pelbagai manfaat melalui program kebajikan yang diperkenal bawah Iltizam Selangor Penyayang (ISP) termasuk Jelajah Ehsan Rahmah yang memberi peluang kepada mereka memiliki barangan asas dengan murah.

Mengambil contoh program Selangor Saring, katanya inisiatif bermula Mei 2022 membantu ramai rakyat mengesan dan mencegah penyakit kritikal sebelum keadaan semakin serius.

“Malah setiap rakyat negeri ini juga dilindungi takaful dan insurans secara percuma melalui program Skim Insurans Am Selangor (INSAN),” katanya.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tiga, kanan) menyampaikan cek cura kepada waris pencarum ketika melancarkan Insan Takaful sempena majlis perasmian Tekad Insani #KitaSelangor di Pusat Konvensyen Bangi, Kajang pada 4 Ogos 2023. Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) Norita Mohd Sidek (tiga, kiri). Foto AHMADZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Beliau menambah 2023 turut mencatat sejarah apabila rakyat memberi mandat kepada Kerajaan Perpaduan untuk meneruskan kerja baik dan usaha bagi tempoh lima tahun.

“Rakyat Selangor telah memilih rekod pencapaian dan bukan retorika politik sempit yang dangkal. Insya-Allah, saya berharap tahun 2024 kita tanamkan azam bersama-sama untuk menjadi lebih baik.

“Selamat Tahun Baru 2024 kepada seluruh rakyat Malaysia terutamanya bagi warga Selangor. Semoga tahun ini membawa pelbagai harapan dan kejayaan baharu,” katanya lagi.

Kerajaan Negeri menganjurkan program Selangor Saring yang menawarkan pemeriksaan kesihatan percuma di Dewan MPAJ Lembah Jaya, Ampang pada 11 Jun 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

 


Pengarang :