Bangunan Universiti Islam yang musnah dan rosak dilihat selepas serangan Israel di tengah-tengah konflik berterusan antara Israel dan kumpulan Islam Palestin Hamas di Gaza pada 13 Oktober 2023. Foto REUTERS
AGENDAGLOBAL

21,822 rakyat Palestin terbunuh, 56,451 cedera sejak serangan Israel 7 Oktober 2023

ISTANBUL, 1 JAN: Operasi ketenteraan Israel di Semenanjung Gaza sejak 7 Oktober lalu sudah membunuh 21,822 rakyat Palestin dan mencederakan 56,451 yang lain, menurut Kementerian Kesihatan di Gaza pada Ahad.

Kementerian Kesihatan berkata angka itu termasuk 150 rakyat Palestin yang terbunuh manakala 286 lagi cedera dalam tempoh 24 jam lalu.

Menurut kementerian itu, kira-kira 70 peratus daripada mangsa adalah wanita dan kanak-kanak, lapor Agensi Anadolu.

Orang awam menanggung beban terbesar serangan dengan rumah, kemudahan awam, sekolah dan hospital menjadi sasaran secara berterusan.

Ini termasuk, 65,000 kediaman, 117 masjid dan 92 sekolah dan universiti musnah.

Selain itu 290,000 kediaman, 285 institusi pendidikan, 208 masjid dan tiga gereja mengalami kerosakan teruk.

Serangan yang disasarkan juga meninggalkan kesan terhadap infrastruktur penting dengan 25 hospital dan 53 pusat kesihatan tidak lagi berfungsi.

Antara yang terbunuh ialah 312 profesional penjagaan kesihatan dan 40 anggota pertahanan awam, selain 106 wartawan yang kehilangan nyawa ketika bertugas.

Lebih 7,000 lagi mangsa masih terperangkap di bawah runtuhan.

Kebimbangan antarabangsa yang meningkat mendorong gesaan untuk menghentikan segera konflik dan meningkatkan usaha bantuan kemanusiaan untuk menangani krisis yang semakin meruncing di wilayah itu.

Serangan Israel memusnahkan Gaza, dengan hampir dua juta penduduk kehilangan tempat tinggal di wilayah yang padat penduduk itu di tengah-tengah kekurangan makanan dan air bersih.

– BERNAMA-ANADOLU


Pengarang :