AGENDAJENAYAH

Lelaki maut, rakan cedera terkena serpihan bunga api

SEREMBAN, 1 JAN: Lelaki maut, seorang lagi cedera akibat terkena serpihan bunga api yang meletup di bahagian bumbung bangunan tempat letak kenderaan sebuah hotel di Port Dickson dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Supt Aidi Sham Mohamed berkata dalam kejadian 12.30 tengah hari itu, mangsa, 40, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah muka manakala rakannya, 39, dihantar ke Hospital Port Dickson untuk mendapatkan rawatan.

“Kedua-dua mangsa merupakan pekerja syarikat pemasangan bunga api yang ditugaskan memasang bunga api untuk pertunjukan sempena malam Ambang Tahun Baru 2024 di hotel berkenaan.

“Siasatan sedang dijalankan untuk mengetahui punca kejadian dan kes diklasifikasikan sebagal mati mengejut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sehubungan itu, Aidi Sham menyeru orang awam tidak menularkan isu berkenaan kerana ia boleh mengganggu siasatan polis.

Terdahulu, tular di laman X sejak pagi tadi rakaman video berdurasi 1.04 minit dan gambar memaparkan kejadian letupan beberapa das bunga api di hotel berkenaan.

– BERNAMA


Pengarang :