AGENDAJENAYAH

Hotel disiasat kes letupan bunga api menyebabkan lelaki maut, rakan cedera

SEREMBAN, 2 JAN: Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negeri Sembilan (JKKPNS) mengeluarkan arahan kacau ganggu bagi kawasan kemalangan kes letupan serpihan bunga api di sebuah hotel di Port Dickson dalam kejadian Ahad lalu.

JKKPNS dalam kenyataan memaklumkan langkah itu bertujuan menjalankan siasatan lanjut terhadap pihak pengurusan hotel selain merampas beberapa dokumen berkaitan kerja yang dijalankan.

Menurut JKKPNS, menjadi tanggungjawab majikan di bawah Seksyen 15(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 untuk memastikan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja.

“Majikan mempunyai kawalan penuh terhadap sebarang aktiviti di tempat kerja, perlu membuat analisis risiko dan mengadakan kawalan risiko yang berkesan sebelum sebarang aktiviti kerja dijalankan.

“Hal ini bagi menghapus atau mengurangkan risiko keselamatan terhadap pekerja dan orang awam serta mengelakkan berlakunya kemalangan ketika aktiviti kerja dijalankan,” menurut kenyataan itu di sini hari ini.

Jelas kenyataan itu, JKKPNS memandang serius setiap kemalangan mahupun penyakit pekerjaan yang berpunca daripada mana-mana aktiviti dalam setiap sektor pekerjaan, selain komited meningkatkan tahap keselamatan dan kesihatan pekerjaan di dalam negara.

Semalam, media melaporkan seorang lelaki tempatan berusia 40 tahun maut akibat parah di muka dan badan selepas terkena serpihan bunga api yang meletup di bahagian bumbung bangunan tempat letak kenderaan di hotel berkenaan.

JKKPNS memaklumkan siasatan awal mendapati mangsa bersama tiga rakannya sedang menyiapkan pemasangan bunga api bagi sambutan ambang tahun baharu di hotel terbabit sebelum ia meletup secara tiba-tiba pada 11.50 pagi.

JKKPNS mengarahkan sepasukan pegawai penyiasat untuk menjalankan siasatan sebaik menerima maklumat mengenai kejadian.

– BERNAMA


Pengarang :