Anggota bomba cuba menyelamatkan seorang penunggang motosikal yang dihanyutkan arus deras ketika melalui Kilometer 34 Jalan Jemaluang-Kota Tinggi pada 2 Januari 2024. Foto Facebook Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia
AGENDANASIONAL

Bomba selamatkan penunggang motor hanyut dibawa arus deras

MERSING, 2 JAN: Seorang lelaki yang menunggang motosikal mengalami detik cemas apabila nyaris dihanyutkan arus deras ketika melalui Kilometer 34 Jalan Jemaluang-Kota Tinggi di sini pagi tadi.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Mersing Pegawai Bomba Kanan II KUP Arwan Abdullah berkata mangsa yang berusia 23 tahun itu, telah dibawa arus deras dan hanyut sejauh tujuh meter pada kedalaman air 1.5 meter.

“Setibanya di tempat kejadian, didapati terdapat seorang lelaki dewasa dipercayai telah hanyut ketika melalui jalan yang telah dinaiki air banjir dengan menaiki motosikal.

“Pasukan Keluaran Operasi (PKO) kemudiannya bertindak menggunakan tali menyelamat untuk menarik mangsa ke kawasan selamat dan mangsa tidak mengalami kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 7.19 pagi, sebelum sebuah jentera Light Fire Rescue Tender (LFRT) dan sebuah Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dengan kekuatan 10 anggota, digegaskan ke lokasi kejadian.

Operasi ditamatkan sepenuhnya kira-kira 8.22 pagi tadi.

-BERNAMA


Pengarang :