Seramai 1,300 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 menyertai Karnival SPM Selangor (KSS) anjuran Yayasan Selangor di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 18 dan 19 Disember 2023. Foto Facebook Yayasan Selangor
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Yayasan Selangor buka permohonan kemasukan pelajar tingkatan satu esok

KUALA LUMPUR, 2 JAN: Permohonan kemasukan pelajar tingkatan satu 2024 bagi Rancangan Khas Pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia – Yayasan Selangor (RKPYS) dibuka mulai esok.

Yayasan Selangor dalam satu kenyataan memaklumkan 491 tempat diperuntukkan di 32 sekolah di Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur kepada murid tahun enam 2023 yang layak.

“Pemohon perlu mendapat Tahap Penguasaan (TP) 3 untuk semua mata pelajaran Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) Tahun 6 sekolah rendah, bersekolah di sekolah rendah Kementerian Pendidikan (KPM) atau sekolah swasta yang berdaftar di bawah KPM dengan keutamaan diberikan kepada murid luar bandar.

“Pemohon atau ibu atau bapa ialah warganegara Malaysia yang lahir di Selangor atau bermastautin sekurang-kurangnya 10 tahun selain berpendapatan per kapita kurang RM2,000 sebulan,” menurut yayasan itu.

Pelbagai kemudahan ditawarkan kepada murid terpilih termasuk asrama, biasiswa, kelas bimbingan, program kecemerlangan akademik, pembangunan kendiri dan pemantauan berterusan daripada guru yang dilantik.

Permohonan boleh dibuat secara dalam talian melalui www.yayasanselangor.org.my sebelum tarikh tutup pada 15 Januari.

– BERNAMA


Pengarang :