ADN Seri Kembangan Wong Siew Ki mengedarkan bendera Jalur Gemilang kepada orang ramai dan peniaga pasar pagi pada 19 Ogos 2023. Foto Facebook Wong Siew Ki
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Pasar pagi baharu Seri Kembangan dibina berkonsep mesra alam

SHAH ALAM, 2 JAN: Pembinaan pasar pagi baharu di Jalan Besar, Seri Kembangan yang bermula pertengahan tahun ini akan mengetengah konsep moden, berteknologi hijau dan mesra alam.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Seri Kembangan Wong Siew Ki berkata antara konsep yang akan dikemuka termasuk penggunaan panel solar, sistem penuaian air hujan (SPAH) dan mesin kompos.

“Saya akan cuba bawa cadangan ini kepada Kerajaan Negeri supaya konsep pasar itu boleh jadi contoh untuk pembinaan lebih banyak lagi pasar yang mesra alam di negara ini.

“Selain itu ia juga dicadangkan supaya lebih mesra orang kurang upaya (OKU) dan warga emas,” katanya kepada Selangorkini.

Ahli Dewan Negeri Seri Kembangan Wong Siew Ki

Siew Ki menambah Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dijangka menganjurkan pertandingan bagi mereka bentuk bangunan pasar terbabit.

“Saya difahamkan MBSJ sudah berhubung dengan persatuan arkitek dan dijangka akan adakan pertandingan reka bentuk pasar itu.

“Kita benar-benar berharap konsep hijau ini dapat direalisasikan di pasar ini dan pembinaannya berjalan mengikut jadual,” katanya.

Sebelum ini, Siew Ki memaklumkan pembinaan pasar baharu itu dijangka bermula pertengahan tahun ini dengan anggaran kos RM6 juta yang diperuntuk Kerajaan Negeri.

Dijangka siap dua hingga tiga tahun lagi, ia bakal memuatkan 400 peniaga. Ketika ini peniaga sedia ada ditempatkan di lokasi transit bagi memastikan kelancaran perniagaan masing-masing.


Pengarang :