Ketua Polis Kedah Datuk Fisol Salleh (tengah) bersama Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kedah, ACP Mohd Taufik Maidin menunjukkan dadah jenis syabu yang disembunyikan di dalam tayar ganti kenderaan pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, 2 Januari 2024. Foto BERNAMA
AGENDAJENAYAH

Lebih 10 kilogram syabu disorok dalam tayar ganti kenderaan dirampas

ALOR SETAR, 2 JAN: Polis menahan dua lelaki warga Thailand selepas menemukan syabu seberat 10.6 kilogram yang disembunyikan di dalam tayar ganti kenderaan yang dinaiki mereka di Kampung Baru Balai Pos, Jalan Sungai Korok, Ayer Hitam Khamis lalu.

Ketua Polis Kedah Datuk Fisol Salleh berkata taktik suspek terbongkar selepas polis dari Jabatan Siasatan jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah memeriksa Toyota Hilux yang dinaiki mereka, dan menemukan dadah bernilai RM349,800.

Katanya terdahulu kedua-dua suspek berusia 25 dan 41 tahun itu bertindak melarikan diri selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa, namun mereka berjaya ditahan selepas berlaku pergelutan dengan anggota polis.

“Mereka ditahan di tepi jalan kawasan berkenaan dan hasil pemeriksaan kita menemukan 10 bungkusan plastik berwarna hijau dengan setiap satunya mengandungi plastik lutsinar berisi dadah jenis syabu di dalam tayar ganti di bahagian bawah belakang kenderaan berkenaan.

“Dadah yang dirampas dianggarkan seberat 10.6 kg, yang boleh digunakan hampir 20,000 penagih,” katanya di sini, hari ini.

Fisol berkata kesemua dadah yang dirampas disyaki diseludup dari negara jiran untuk diedarkan kepada penagih dalam negara.

Katanya kedua-dua suspek direman tujuh hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, dan ujian air kencing mendapati mereka posiitif methamphetamine.

– BERNAMA


Pengarang :