Petugas Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia meninjau lokasi kejadian tanah runtuh di Taman Wawasan, Puchong pada 20 Disember 2023. Foto Facebook Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia
AGENDANASIONAL

Tanah runtuh: Kerja pasang cerucuk di Taman Wawasan siap 50 peratus

KUALA LUMPUR, 3 JAN: Kerja-kerja penanaman cerucuk besi fasa dua di kawasan parit besar berhampiran lokasi tanah runtuh di Jalan Wawasan 3/9, Taman Wawasan, Puchong, di sini, telah siap 50 peratus.

Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner A Anbalagan berkata hingga petang semalam, sebanyak 590 cerucuk besi termasuk 375 cerucuk di kawasan fasa satu sudah selesai ditanam untuk menghentikan sebarang pergerakan tanah.

“Anggaran penanaman cerucuk ini siap oleh kontraktor dalam dua minggu, namun ia bergantung kepada keadaan cuaca semasa,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, tiada sebarang pergerakan tanah susulan dilaporkan berlaku di kawasan itu, walaupun kerap hujan kebelakangan ini.

Pada 16 Disember lepas, 29 penghuni sembilan rumah teres di Taman Wawasan, Puchong diarah berpindah atas faktor keselamatan berikutan kejadian tanah runtuh berhampiran kediaman mereka yang turut mengakibatkan empat kenderaan tertimbus.

-BERNAMA

 


Pengarang :