Foto Facebook David Cheong
ADNSELANGOR

Sempena Tahun Baharu Cina, DUN Kajang buka permohonan baucar beli-belah

SHAH ALAM, 3 JAN: Warga Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang dipelawa memohon baucar beli-belah Tahun Baharu Cina bernilai RM200 sehingga 19 Januari.

Wakil rakyatnya David Cheong memaklumkan permohonan menerusi insiatif Jom Shopping itu dibuka kepada pengundi DUN Kajang berumur antara 18 hingga 59 tahun yang menyambut perayaan itu.

“Permohonan dibuka sejak semalam dan hanya seorang pemohon layak bagi setiap keluarga dengan pendapatan isi rumah RM3,000 dan ke bawah.

“Penerima Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS), Skim Mesra Usia Emas (SMUE) dan Skim Mesra Insan Istimewa (SMIS) tidak layak memohon baucar ini,” katanya di Facebook.

Mengulas lanjut katanya dokumen diperlukan adalah salinan kad pengenalan serta slip gaji pemohon dan pasangan manakala bagi yang tiada slip gaji atau tidak bekerja pengesahan pendapatan diperlukan.

“Borang permohonan boleh diambil di pejabat DUN Kajang dan hanya permohonan yang lulus sahaja akan dihubungi,” katanya.

Belanjawan Selangor 2024 memperuntuk RM16.48 juta bagi program pemberian baucar Jom Shopping sempena perayaan yang bakal memanfaatkan 82,400 penerima.

Selain Tahun Baharu Cina program bantuan itu turut diberi kepada keluarga kurang berkemampuan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri dan Deepavali bagi membeli barangan keperluan.

Nilai baucar juga dinaikkan daripada RM100 kepada RM200 berikutan situasi ekonomi dan keperluan rakyat.


Pengarang :