AGENDANASIONAL

Hanya kerana tutup pintu kuat, isteri lebam dipukul suami

SHAH ALAM, 3 JAN: Hanya kerana menutup pintu dengan kuat, seorang wanita dibelasah oleh suaminya dalam satu kejadian di sebuah rumah di Taman Maju Jaya, Ampang Jaya, kelmarin.

Ketua polis daerah Ampang Jaya berkata mangsa, 40, berselisih faham dengan suaminya, 45, sebelum dipukul hingga menyebabkan lebam di tangan, kaki dan badan, lapor Berita Harian.

Menurut Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail, mangsa kemudian membuat laporan jam 2 pagi kelmarin dan suspek ditahan di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya, petang semalam.

“Pemeriksaan perubatan di Hospital Ampang mendapati mangsa mengalami kecederaan tisu lembut pada tangan kanan, jari tengah sebelah kanan dan kaki kanan,” katanya seperti dilaporkan portal itu.

Beliau berkata suspek didapati negatif dadah dan tiada rekod lampau. Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyan 18A Akta Keganasan Rumah Tangga.


Pengarang :