Pengerusi Piala Sultan Selangor (TSSC) Tan Sri Abd Karim Munisar bercakap kepada media selepas meninjau kerja membaik pulih Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada 3 Januari 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Piala Sultan Selangor di Stadium Merdeka Ogos ini, tiket serendah RM10

KUALA LUMPUR, 3 JAN: Pertandingan bola sepak Piala Sultan Selangor (TSSC) yang tertangguh empat tahun susulan Covid-19 bakal dianjur semula 17 Ogos ini di Stadium Merdeka.

Pengerusi jawatan kuasa TSSC berkata 20,000 penonton dijangka memeriahkan perlawanan tradisi menentang Singapura dengan tiket dijual pada harga serendah RM10.

Menurut Tan Sri Abd Karim Munisar, lokasi edisi ke-20 ini akan menggamit nostalgia kegemilangan bintang bola sepak negara antaranya Mokhtar Dahari, R Arumugam, Santokh Singh dan Soh Chin Aun.

“TSSC edisi ini amat bermakna sebab kita bawa penonton ke stadium yang melahirkan legenda bola sepak. Stadium mengembalikan sejarah lama kerana mereka beraksi di sini.

“Mereka bantu pasukan kebangsaan hingga kita berjaya ke Sukan Olimpik 1972 dan 1980. Saya rasa peminat bola sepak pastinya tertunggu-tunggu untuk melihat suasana pada 17 Ogos ini,” katanya ketika meninjau stadium berkenaan.

Kerja membaik pulih Stadium Merdeka diljalankan bagi kegunaan perlawanan bola sepak Piala Sultan Selangor pada Ogos ini di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada 3 Januari 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Abd Karim berkata perlawanan yang melibatkan dua kategori iaitu veteran dan pilihan turut menampilkan artis terkenal tanah air, Datuk Jamal Abdillah untuk membuat persembahan.

“Untuk memeriahkan lagi, kita adakan pertunjukan bunga api selama tiga minit selain pasukan polis membuat persembahan payung terjun dengan membawa bendera Malaysia dan Selangor,” katanya.

Kejohanan kali ini menawarkan piala berprestij serta wang tunai RM80,000.

Trofi Piala Sultan Selangor (TSSC)

Untuk rekod, Pilihan Selangor pernah meraih gelaran sebanyak sembilan kali iaitu pada 2001, 2003, 2005, 2008, 2012, 2013, 2014, 2018 dan 2019.

Pilihan Singapura pula pernah meraih gelaran sebanyak tujuh kali iaitu pada 2006, 2007, 2009, 2010, 2011, 2016 dan 2017.

Kedua-dua pasukan turut berkongsi kejuaraan pada 2015 memandangkan perlawanan terpaksa dibatalkan susulan jerebu.

Kali terakhir TSSC diadakan pada 2019 yang mana Pilihan Selangor menewaskan Pilihan Singapura 1-0.


Pengarang :