Sebahagian penerima hadir menebus baucar Jom Shopping sempena Tahun Baharu Cina di Pasar Raya Giant Kelana Jaya pada 15 Januari 2023. Foto Lim Yi Wei
ADNSELANGOR

Warga DUN Kampung Tunku dipelawa mohon baucar beli-belah Tahun Baharu Cina

SHAH ALAM, 3 JAN: Warga Dewan Undangan Negeri (DUN) Kampung Tunku dipelawa memohon baucar beli-belah Tahun Baharu Cina bermula hari ini hingga 26 Januari.

Wakil rakyatnya Lim Yi Wei memaklumkan permohonan inisiatif Jom Shopping itu dibuka kepada masyarakat yang menyambut perayaan itu dengan syarat pengundi dan penduduk kawasan berkenaan.

“Pemohon juga perlu memiliki pendapatan isi rumah kurang RM3,000 serta bukan penerima Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS), Skim Mesra Usia Emas (SMUE),” katanya menerusi Facebook.

Tambahnya, antara dokumen yang diperlukan adalah salinan kad pengenalan suami isteri, salinan slip gaji atau surat pengakuan sumpah serta surat cerai atau sijil kematian jika ada.

Pendaftaran boleh dibuat di Pusat Khidmat DUN Kampung Tunku di No 24, Jalan 20/9, Taman Paramount, 46300 Petaling Jaya.

Belanjawan Selangor 2024 memperuntuk RM16.48 juta bagi program pemberian baucar Jom Shopping sempena perayaan yang bakal memanfaatkan 82,400 penerima.

Selain Tahun Baru Cina program bantuan itu turut diberi kepada keluarga kurang berkemampuan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri dan Deepavali bagi membeli barangan keperluan.

Nilai baucar juga dinaikkan daripada RM100 kepada RM200 berikutan situasi ekonomi dan keperluan rakyat.


Pengarang :