Keadaan sekitar premis pemprosesan ayam yang mengabstrak air sungai tanpa kebenaran di Sungai Bakau, Rawang. Foto Facebook LUAS
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Abstrak air sungai tanpa kebenaran, premis proses ayam dikenakan tindakan

SHAH ALAM, 4 JAN: Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) membuka kertas siasatan terhadap sebuah premis pemprosesan ayam yang mengabstrak air sungai tanpa kebenaran di Sungai Bakau, Rawang.

Agensi itu memaklumkan siasatan dibuat susulan pemantauan pematuhan abstraksi air bumi dan air permukaan melalui Operasi Abstraksi Sumber Air (Ops ASA) yang dijalankan semalam.

“Pemeriksaan LUAS di sebuah premis pemprosesan ayam menemui sebuah pam air yang digunakan oleh pihak premis untuk mengambil air permukaan di kawasan sungai berhampiran iaitu Sungai Bakau.

“Semakan lanjut LUAS terhadap premis juga mengesan bahawa premis mengabstrak air daripada Sungai Bakau tanpa sebarang permohonan dan kebenaran daripada LUAS,” katanya menerusi Facebook.

Menurut agensi itu, kertas siasatan dibuka untuk tindakan lanjut izin kompauan terhadap kesalahan yang dilakukan pemilik premis tersebut.

LUAS menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi dengan setiap kesalahan undang-undang dan kompauan maksimum akan dikenakan terhadap pesalah.

“Kepada pemilik premis, pastikan anda memperoleh lesen daripada LUAS terlebih dahulu sebelum sebarang aktiviti abstraksi air dijalankan,” katanya.


Pengarang :