Pemandangan dari udara kelihatan barisan kontena yang dieksport masuk ke Malaysia dan kemudahan yang tersedia di Pelabuhan Barat di Pelabuhan Klang. Foto westportholding.com
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Negeri bina banyak kawasan industri baharu, tampung keperluan pelabur

SHAH ALAM, 4 JAN: Lebih banyak kawasan perindustrian baharu akan diwujudkan tahun ini melibatkan beberapa lokasi di seluruh negeri bagi memenuhi permintaan pelabur dan industri.

EXCO Pelaburan Ng Sze Han berkata Selangor memiliki banyak kelebihan antaranya kedudukan berhampiran lapangan terbang utama, pelabuhan besar (Klang), lebuh raya serta laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

“Kita turut mengutamakan pelan terkandung dalam Rancangan Selangor Pertama terutama Pembangunan Kawasan Sabak Bernam dan Projek Wilayah Pembangunan Bersepadu Selangor Selatan,” katanya.

Beliau menambah pentadbiran negeri turut giat mempromosi industri pelaburan bagi menarik syarikat tempatan dan luar negara untuk menapak di negeri ini.

“Segala proses akan dipantau supaya ia berjalan lancar. Jika ada masalah, kita akan cuba selesaikan secepat mungkin sekali gus menjamin kemasukan pelabur,” katanya.

November tahun lalu, Sze Han memaklumkan negeri menjana nilai pelaburan sebanyak RM88.88 bilion sepanjang lima tahun ini selepas meluluskan 1,506 projek perkilangan.

Jumlah direkodkan dari 2018 hingga Jun lalu melibatkan pelaburan modal asing RM53 bilion, manakala baki RM35.88 bilion daripada tempatan selain mewujudkan 95,610 peluang kerja.

 


Pengarang :