PBTSELANGOR

Lebih 1,900 warga emas, OKU guna perkhidmatan kenderaan komuniti MBSA

SHAH ALAM, 4 JAN: Seramai 1,907 individu menggunakan perkhidmatan kenderaan komuniti yang disediakan secara percuma oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) sejak 2015.

Pengarah Jabatan Korporat dan Perhubungan Awamnya berkata daripada jumlah itu seramai 91 orang menggunakan perkhidmatan tersebut pada 2015 diikuti 2016 (127), 2017 (202) dan 2018 (190).

Menurut Azhar Mohd Sharif pada 2019 pula seramai 205 individu menggunakan perkhidmatan itu manakala pada 2020 (126), 2021 (13), 2022 (473) dan 2023 (480).

“Sambutan orang awam terhadap kenderaan komuniti yang kita sediakan ini amat menggalakkan dan mendapat sambutan malahan ada yang memuji MBSA menyediakan perkhidmatan ini.

“Susulan sambutan memberangsangkan, kita teruskan tahun ini dan menyeru pemegang kad orang kurang upaya (OKU) dan warga emas yang mahu pergi ke hospital atau pusat rawatan menggunakan kenderaan ini,” katanya ketika dihubungi.

Penyediaan kenderaan komuniti adalah inisiatif MBSA menerusi tanggungjawab sosial korporat dan keprihatinannya berikutan perkhidmatan pengangkutan kepada golongan terbabit terhad dan sukar didapati.

Setakat ini, MBSA mempunyai dua unit kenderaan iaitu van yang diubah suai mengikut keperluan golongan OKU dan sebuah Proton Exora untuk warga emas.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh hubungi Jabatan Pembangunan Komuniti MBSA di talian 03-5522 2732.

Program khidmat kenderaan komuniti disediakan dari Isnin hingga Jumaat bermula jam 8.30 pagi hingga 5 petang.

Lokasi penghantaran seperti berikut:

Klinik Kesihatan Seksyen 7 dan Seksyen 19
Klinik Kesihatan Bukit Kuda, Klang
Klinik Kesihatan Sungai Buloh
Hospital Besar Shah Alam
Hospital Besar Sungai Buloh
Hospital Tengku Ampuan Rahimah
Pusat Perubatan Universiti Malaya


Pengarang :