Jalaludin Shariff menoreh di ladang getah Kampung Tangkoh Sekota, Johol, Kuala Pilah pada 15 Oktober 2023. Kerajaan menaikkan paras harga pengaktifan Insentif Pengeluaran Getah (IPG) kepada RM3 sekilogram dengan peruntukan RM400 juta dalam Belanjawan 2024. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

80,000 pekerja diperlukan tampung keperluan sektor perladangan getah

PUTRAJAYA, 4 JAN: Kira-kira 80,000 pekerja diperlukan dalam sektor perladangan getah bagi menampung keperluan di kira-kira 420,000 hektar ladang getah milik pekebun kecil, kata Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani. Foto BERNAMA

“Ada kira-kira 420,000 hektar ladang getah yang tak boleh ditoreh sebab tak ada pekerja, jadi ini adalah satu isu.

“Kalau ikut perkiraan, satu setengah hektar memerlukan seorang pekerja. Jadi kita perlukan antara 70,000 dan 80,000 pekerja,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Kementerian Perladangan dan Komoditi di sini hari ini.

Pada 29 Dis lepas, Johari dilaporkan berkata negara telah kehilangan sebanyak RM2.3 bilion nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) susulan 420,000 hektar ladang getah milik pekebun kecil tidak diusahakan kerana kekurangan sumber tenaga kerja.

Beliau berkata dalam tempoh 10 tahun lepas, trend pengeluaran produk getah mencatatkan penurunan yang dikenal pasti berpunca daripada beberapa masalah antaranya kekurangan tenaga kerja, kos pengeluaran yang tinggi dan saiz pegangan kebun tidak ekonomik.

“Situasi ini akan memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi negara sekiranya tiada langkah mitigasi dilaksanakan oleh kerajaan,” katanya.

Johari turut menekankan aspek kebajikan golongan pekerja termasuk pekerja asing dengan menggesa majikan sektor perladangan agar menyediakan kemudahan penginapan yang sempurna kepada golongan itu.

“Ini akan beri kesan kepada penarafan dan pensijilan kepada produk yang kita eksport. Perkara ini perlu dititikberatkan, barulah orang akan beli produk negara kita sebab mereka tahu kita mematuhi segalanya,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :