Petugas PKPS dibantu urusetia dari Parlimen Selayang menytusul barangan pada Jualan Ehsan Rahmah Parlimen Selayang di Taman Pelangi, Gombak pada 10 Julai 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

PKPS peroleh RM30.8 juta hasil jualan murah tahun lalu

SHAH ALAM, 5 JAN: Sejumlah RM30.8 juta nilai jualan diperoleh menerusi penganjuran Jualan Ehsan Rahmah (JER) di lebih 1,000 lokasi sepanjang tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi berkata jumlah itu membabitkan nilai subsidi RM18.1 juta.

“Dengan perbelanjaan subsidi RM18.1 juta, Kerajaan Negeri mampu menawarkan barangan keperluan asas 30 peratus lebih murah berbanding pasaran.

“Alhamdulillah, kita boleh sifatkan penganjuran tahun lalu berjaya hasil kerjasama baik bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan insya Allah kita akan teruskan lagi pada tahun ini,” katanya kepada Selangorkini, hari ini.

EXCO pertanian sebelum ini berkata pentadbiran negeri meluluskan RM10 juta bagi meneruskan jualan murah pada tahun ini bagi meringankan beban rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah (B40).

Memanfaatkan sekitar lima juta penduduk, Ir Izham Hashim menjelaskan program akan ditambah baik seperti aneka sayur-sayuran dan buah-buahan selain produk makanan sejuk beku.

Program jualan murah barangan asas itu akan kembali diadakan pada 15 Januari hadapan di lebih 1,800 lokasi seluruh negeri pada tahun ini.

 


Pengarang :