EXCO Kerajaan Tempatan Ng Suee Lim berucap ketika program dialog awam bersama pemilik dan pengusaha kilang tanpa kebenaran di kawasan Majlis Bandaraya Shah Alam di Pusat Konvensyen MBSA pada 6 November 2023. Foto Pejabat EXCO
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Jawatankuasa rundingan tambah baik khidmat PBT kepada rakyat

SHAH ALAM, 5 JAN: Sebuah jawatankuasa rundingan akan ditubuhkan tahun ini bagi memperkasa lagi khidmat pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor, kata EXCO kerajaan tempatan.

Menurut Dato’ Ng Suee Lim, badan berkenaan bakal dianggotai bekas yang dipertua, pengarah jabatan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menambah baik kaedah berurusan dengan masyarakat.

“Ini demi memastikan PBT memberi khidmat cemerlang kepada orang ramai. Merdeka Centre (badan kajian bebas) melaporkan 50 peratus awam berpuas hati dengan khidmat PBT tetapi kita mahu lebih.

“Jadi, jawatankuasa ini akan mencari kaedah terbaik untuk semua urusan melibatkan masyarakat antaranya penyeragaman sebarang sistem permohonan,” katanya ketika dihubungi.

Dalam pada itu, Suee Lim memaklumkan Majlis Perbandaran Klang (MPK) akan bertukar status kepada bandar raya dan majlis pengisytiharan rasmi dibuat awal Februari depan.

“Kelulusan pada 20 November tahun lalu, menjadikan Selangor memiliki empat majlis bandaraya iaitu Klang, Shah Alam Petaling Jaya dan Subang Jaya,” katanya.

Pada Selasa, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Setia Haris Kasim menyerahkan surat lantikan sebagai datuk bandar kepada Yang Dipertua MPK Datin Paduka Noraini Roslan.


Pengarang :