PUTRAJAYA, 5 JAN: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI memperuntuk sejumlah RM1 juta bagi membantu mangsa bencana sepanjang tahun ini.
Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat dan Komunikasi Korporatnya Ahmad Azri Zainal Nor berkata bantuan negeri itu merangkumi untuk mangsa banjir, tanah runtuh, ribut, kebakaran dan kemalangan jalan raya.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2024/01/MBI-1-500x333.jpg.webp)
“Bantuan ini tidak terhad kepada bencana seperti banjir sahaja. MBI juga turut padang untuk membantu mangsa kemalangan jalan raya terutama membabitkan mereka yang tidak berkemampuan.
“Kita juga terima permohonan daripada pusat khidmat masyarakat di Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk pelbagai bantuan bencana,” katanya ditemui selepas majlis pelepasan Misi Pascabanjir Pantai Timur Wanita Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) di sini, hari ini.
Sebelum ini Ahmad Azri memaklumkan MBI memperuntuk RM1 juta bagi menjayakan program sumbangan bakul makanan sepanjang tahun ini bagi membantu lebih ramai masyarakat kurang berkemampuan terutama ketika musim perayaan.
Selain bantuan bencana, MBI turut berbelanja besar untuk sektor pendidikan, program komuniti, masjid, surau dan insentif jemaah haji.
Terdahulu, Ketua Wanita KEADILAN yang juga Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek menyempurnakan majlis pelepasan membabitkan pelbagai jenis barangan keperluan berjumlah lebih RM300,000.
Barangan keperluan termasuk kit kebersihan, barangan bayi seperti lampin pakai buang, botol susu dan susu bayi, tuala wanita, pakaian, telekung, sejadah serta bakul makanan akan disumbangkan kepada mangsa banjir di Kelantan, Terengganu dan Pahang.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2024/01/P_BantuanBanjirMenteriPendidikanMBI-3-500x333.jpg.webp)