AGENDAJENAYAH

Kereta dilarikan penjenayah ketika lelaki beli sarapan

KUALA SELANGOR, 6 JAN: Tindakan lelaki meninggalkan keretanya dalam keadaan enjin masih hidup ketika membeli sarapan, mengundang padah apabila kenderaan itu dilaporkan hilang akibat dilarikan, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Deputi Superintendan Mohd Ambia Nordin, berkata kejadian 8.15 pagi dilaporkan berlaku ketika lelaki berusia 41 tahun itu berada di warung nasi lemak berhadapan sebuah restoran di pekan Ijok, Bestari Jaya, di sini.

Katanya, mangsa dikatakan memarkir Perodua Myvi yang dipandunya itu pada jarak kira-kira lima meter dari tempat membeli makanan.

Bagaimanapun, beliau berkata, kenderaan itu kemudian dilihat diundurkan dengan pantas sebelum dibawa lari ke arah jalan besar menghala ke Ijok, lapor Berita Harian.

“Siasatan awal mendapati lokasi kejadian adalah kawasan perumahan dan kedai lot. Perodua Myvi itu pula adalah milik isteri mangsa dan digunakan sejak 2007,” katanya ketika dihubungi.

Mohd Ambia berkata, mangsa turut memaklumkan ada kunci rumah dan telefon bimbit di dalam kereta berkenaan.

Berdasarkan maklumat orang awam, beliau berkata, suspek kejadian itu disyaki lelaki dan terdapat kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan itu tetapi tidak menghala ke lokasi kejadian.

“Siasatan masih diteruskan untuk mengesan suspek, dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan,” katanya.


Pengarang :