EXCO Pembangunan Belia dan Kemajuan Sukan, Pemberdayaan Usahawan dan Ekonomi Kreatif, Pengurusan Bencana Najwan Halimi (kiri) melancarkan majlis perasmian Agenda Public Speaking Workshop 2024 di Universiti Sunway, Subang Jaya pada 6 Januari 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

110 individu sertai bengkel pengucapan awam tajaan negeri

SUBANG JAYA, 6 JAN: Seramai 110 individu daripada pelbagai latar belakang menyertai bengkel pengucapan awam tajaan Kerajaan Negeri di Universiti Sunway di sini, hari ini.

EXCO Pembangunan Belia Najwan Halimi berkata program dengan kerjasama Toastmaster International itu menyediakan program intensif selama sembilan bulan sehingga September depan.

“Dalam program ini, peserta bukan setakat mendapat kemahiran pengucapan awam yang baik tetapi juga dapat tambah ilmu daripada segi jaringan komunikasi dan sebagainya.

“Saya menyokong usaha ini kerana saya lihat potensi untuk kita lahirkan belia yang fasih Bahasa Melayu tetapi dalam masa yang sama juga ingin menambah baik penguasaan bahasa Inggeris,” katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan program Agenda Public Speaking Workshop 2024 hari ini. Untuk rekod, Toastmaster International merupakan pertubuhan antarabangsa yang menjalankan kursus pengucapan awam secara profesional.

Menurut Najwan, peserta yang berjaya menamatkan program tersebut bakal diiktiraf sebagai pelatih dan berpeluang membangunkan kelompok belia lain dalam pengucapan awam.

Malah, beliau menambah, Kerajaan Negeri juga berhasrat menyediakan ruang kepada peserta terbabit bagi membolehkan mereka menyumbang secara langsung dalam pentadbiran.

“Kita akan pastikan mereka juga turut bantu Kerajaan Negeri selepas ini. Kita akan kenal pasti bidang mereka untuk kita serapkan bantu Kerajaan Negeri,” katanya.


Pengarang :