Bangunan Universiti Islam yang musnah dan rosak dilihat selepas serangan Israel di tengah-tengah konflik berterusan antara Israel dan kumpulan Islam Palestin Hamas di Gaza pada 13 Oktober 2023. Foto REUTERS
AGENDAGLOBAL

Lebih 90,000 penduduk Gaza maut, cedera, hilang sejak 7 Oktober

LONDON, 6 JAN: Lebih 90,000 orang iaitu kira-kira empat peratus daripada penduduk di Gaza maut, cedera atau hilang, menurut Pemantau Hak Asasi Manusia Euro-Med pada Jumaat.

Agensi kemanusiaan yang berpangkalan di Geneva itu menjelaskan bahawa serangan udara, darat dan laut Israel telah memusnahkan kira-kira 70 peratus infrastruktur awam di Semenanjung Gaza sejak 7 Oktober.

Agensi itu mendakwa Israel menjadikan Semenanjung Gaza sebagai kawasan tidak boleh didiami, lapor Agensi Anadolu.

“Israel mendorong pengusiran ratusan ribu orang awam secara paksa,” menurut kenyataan Euro-Med.

Beratus-ratus mayat masih berada di jalan raya, terutamanya di kawasan tentera Israel melakukan pencerobohan darat.

Serangan Israel adalah “percubaan jelas” untuk meluaskan wilayahnya merangkumi seluruh Semenanjung Gaza dengan melanggar undang-undang antarabangsa,” merangkumi kemungkinan jenayah perang, jenayah terhadap kemanusiaan, dan pembunuhan beramai-ramai”.

Merujuk kepada laporan bahawa Israel melarang bekalan kemanusiaan daripada memasuki Semenanjung Gaza dengan lebih kerap, Euro-Med mendakwa Israel menggunakan “kebuluran sebagai senjata”.

Ia mengulangi tuntutan agar pelapor khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan pendakwa Mahkamah Jenayah Antarabangsa untuk menyiasat “pelanggaran yang telah didokumenkan secara meluas sejak Israel memulakan pembunuhan beramai-ramai ke atas Gaza.”

Israel telah melancarkan serangan udara dan darat tanpa henti di Semenanjung Gaza sejak 7 Oktober, membunuh sekurang-kurangnya 22,600 rakyat Palestin manakala 57,910 yang lain cedera.

– BERNAMA-ANADOLU


Pengarang :