Ahli Dewan Negeri Balakong Ong Chun Wei meninjau keadaan longkang tersumbat dan dipenuhi sisa minyak di Taman Berjaya, Kampung Baru Sungai Chua, Kajang pada 3 Oktober 2023. Foto Facebook Ong Chun Wei
ADNBERITA UTAMASELANGOR

ADN Balakong tumpu baik pulih, bina baharu infrastruktur awam

SHAH ALAM, 6 JAN: Ahli Dewan Negeri (ADN) Balakong mahu menumpukan kepada usaha membaik pulih dan membina beberapa infrastruktur awam bagi kemudahan penduduk kawasan itu.

Wayne Ong Chun Wei berkata antara yang sedang dibaik pulih sejak November lalu adalah Dewan Komuniti Batu 11, Cheras dengan peruntukan sebanyak RM286,000.

“Peruntukan adalah sepenuhnya kita terima daripada Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan dan kita jangka dewan yang dilengkapi gelanggang badminton ini siap sepenuhnya awal Februari ini.

“Dewan ini mampu memuatkan kira-kira 200 orang dan penduduk sekitar boleh menggunakannya sama ada untuk mengadakan majlis keraian atau bersukan,” katanya kepada Selangorkini.

Selain itu, Chun Wei menjelaskan pihaknya turut bercadang untuk membina gelanggang sukan serbaguna di Persiaran Suakasih Bandar Tun Hussein Onn.

“Apabila terbinanya gelanggang ini, kita yakin ia dapat dimanfaatkan penduduk setempat termasuk pelajar sekolah agama berhampiran kawasan tersebut.

“Saya juga akan mempergiat lagi aktiviti turun padang ke kawasan Balakong untuk melihat dan mendengar sendiri aduan daripada penduduk setempat bagi memastikan Balakong terus maju,” jelasnya.


Pengarang :