SHAH ALAM, 7 JAN: Pembinaan longkang utama (monsoon drain) di Jalan Wawasan, Taman Wawasan, Puchong akan dimulakan dalam tempoh terdekat, kata Ahli Dewan Negeri (ADN) Kinrara.
Ng Sze Han berkata pembinaan longkang itu turut tersenarai dalam kerja baik pulih susulan kejadian tanah runtuh di taman perumahan berkenaan 16 Disember lalu.
“Kontraktor dalam proses membina semula cerun, menyediakan platform dan jalan masuk. Pembinaan longkang monsun juga akan dimulakan dalam beberapa hari akan datang,” katanya menerusi Facebook.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2024/01/ngsze-500x375.jpg.webp)
Sze Han yang meninjau kawasan itu semalam berkata, setakat ini 775 cerucuk sudah dipasang bagi memastikan kestabilan cerun.
“Satu lagi kemajuan positif ialah semua lapan kereta yang diletakkan di tempat letak kenderaan berhampiran telah bergerak keluar dengan selamat,” katanya.
Sebelum ini, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) Dato’ Mohd Fauzi Mohd Yatim memaklumkan kerja pemasangan cerucuk di Taman Wawasan dijangka selesai sepenuhnya 8 Januari ini.
Pada 16 Disember, 29 penghuni di sembilan rumah teres kawasan berkenaan diarah berpindah atas faktor keselamatan, susulan tanah runtuh berhampiran kediaman mereka.
Kejadian tanah runtuh yang berlaku di Jalan Wawasan 3/9 dan 3/14 kira-kira 7.30 malam itu turut menyebabkan empat kenderaan tertimbus namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.