SHAH ALAM, 8 JAN: Hukum membayar zakat pendapatan adalah wajib di Selangor mengikut fatwa yang diwartakan pada 2002, kata mufti.
Menerusi video di Facebook Lembaga Zakat Selangor, Dato’ Dr Anhar Opir berkata kiraan had kifayah zakat adalah 2.5 peratus daripada gaji atau upah yang diterima.
“Zakat pendapatan terletak dalam kategori al-mal al-mustafad iaitu harta perolehan. Ia termasuk dalam semua jenis upah, imbuhan, bayaran ataupun hasil yang diperoleh daripada pekerjaan.
“Oleh kerana zakat pendapatan ini dapat pada setiap bulan, maka dikeluarkanlah zakat terus ditolak mengikut keperluan dengan ada kiraan iaitu had kifayah 2.5 peratus daripadanya,” katanya.
Beliau berkata demikian menjelaskan kekeliruan beberapa pihak di media sosial berhubung hukum melaksanakan zakat pendapatan khususnya di Selangor.
Anhar turut merujuk surah al-Baqarah ayat 267 mengenai zakat pendapatan selain kesepakatan ulama dunia yang tidak mensyaratkan haul (cukup setahun) bagi pembayaran zakat bagi menjaga kemaslahatan pembayar.
“Bayangkan jika disyaratkan haul bagi zakat pendapatan mungkin ada yang berbelanja banyak atau tidak cermat, lalu tidak dikenakan zakat kerana tidak cukup haul kerana duitnya habis.
“Atau orang yang dapat gaji sama tetapi duitnya tidak habis, tiba-tiba dikenakan zakat. Jadi, ini tidak adil dalam Islam,” katanya.