Senarai buku terbitan Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) dengan kerjasama Media Selangor, kecuali Muhamad: Riwayat Hidup Berdasarkan Sumber Terawal dan Menghidupkan Ilmu Agama, yang bertanda bintang antara naskhah laris sepanjang Oktober 2023. Grafik oleh Azwa Abdul Malek
BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Sirah, riwayat nabi, tokoh Islam jadi buruan ulat buku

Usaha Kerajaan Negeri menjayakan projek terjemahan judul penting dunia dan menganjurkan pesta buku saban tahun diiktiraf apabila Dato’ Menteri Besar menerima Anugerah Buku Negara 2023.

Menjulang piala Anugerah Perdana: Tokoh Kepimpinan Muda Cemerlang Dalam Memartabatkan Pembangunan Buku Negara, Dato’ Seri Amirudin Shari menyifatkan penghargaan itu untuk Selangor seluruhnya.

“(Anugerah) ini bukan kemenangan peribadi tetapi pengiktirafan buat Selangor yang mempunyai projek pencerahan rakyat menerusi terjemahan karya agung, diskusi dan pesta buku yang memberi dampak baik kepada pembaca dan penerbit.

“Malah, penggal (ke-15) ini kita mula memberi baucar buku di universiti dalam Selangor dan Lembah Klang yang akan dilebar serta diperhebat,” katanya selepas majlis di Tanjung Malim, Perak pada 21 Disember.

Selain menyertai Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur saban tahun, Kerajaan Negeri juga menjayakan Siri Pencerahan Selangor, projek terjemahan lebih 70 karya penting yang diusahakan Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) mulai 2016.

Malah, sejak 2006 lagi, Kerajaan Negeri menganjurkan pesta buku termasuk Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) mulai 2022. Pada tahun lalu, kira-kira 250,000 bersesak-sesak mendapatkan buku buruan masing-masing.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan Anugerah Perdana Tokoh Kepimpinan Muda Cemerlang Dalam Memartabatkan Pembangunan Buku Negara kepada Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada Anugerah Buku Negara 2023 di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Perak pada 21 Disember 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Dicari peminat

Dalam pesta buku ini, karya terjemahan IBDE seperti Muhammad: Riwayat Hidup Berdasarkan Sumber Terawal (Martin Lings) dan Gelagat dan Ragam Orang Melayu (Frank Swettenham) terus dicari peminat.

Sirah karangan Lings, atau nama Islamnya Abu Bakar Sirajuddin, diusaha dengan kerjasama Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), penganjur pesta buku SIBF.

Sementara terjemahan catatan bekas residen Inggeris itu digerakkan dengan usahasama Media Selangor Sdn Bhd, penerbit Selangorkini. Karya lain termasuklah ‘Umar Al-Khattab: Kebijaksanaan Sebagai Pedang dan Perempuan Seribu Satu Malam.

Dua judul terakhir ini baharu sahaja diterbit tetapi berjaya menarik minat ramai. Kejayaan karya-karya IBDE turut dibantu pempengaruh media sosial Zainal Rashid Ahmad, berpengalaman luas dalam bidang kewartawanan dan kesusasteraan.

Perempuan Seribu Satu Malam (AJ Arberry) menceritakan empat kisah terkenal daripada hikayat Seribu Satu Malam: Aladin dan Pelita Ajaib, Judar dan Abang-abangnya, Abukir dan Abusir, serta Tukang Emas Berahi.

Kisah ‘Umar Al-Khattab (Abbas Mahmud al-‘Aqqad) pula siri kedua selepas Abu Bakr as-Siddiq: Liku-liku Hayat & Pemerintahan Khalifah Pertama (Muhammad Hussein Haikal).

Kisah dua Khalifah al-Rasyidin ini bagi melengkapkan terjemahan sirah Nabi. Malah kali ini teks asal sirah berbahasa Inggeris juga mendapat sambutan di SIBF. IBDE merancang menterjemah dua lagi khalifah awal untuk rujukan umat Islam.

“Bagaimanapun, naskhah Muhammad: Riwayat Hidup Berdasarkan Sumber Terawal terus mendapat sambutan hangat. Buku Muhammad kekal terunggul dari hari pertama lagi,” kata Ketua Pengarang IBDE Al-Mustaqeem Mahmod Radhi pada 10 Disember.

Pengunjung tidak melepaskan peluang menghadiri Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) sempena musim cuti sekolah di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada 28 Mei 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Terus dikagumi

Buku keempat terlaris di reruai IBDE ketika SIBF, berlangsung 1-10 Disember, Salahuddin Al-Ayubi: Raja Penakluk (John Man) cuba menjelaskan mengapa tokoh ini terus dikagumi di Timur dan Barat sehingga kini.

“Kisah Salahuddin diceritakan cukup terperinci termasuk bagaimana beliau mendapat kuasa, kesukaran untuk menyatukan puak dalam agama, pertempuran mengambil kembali Jerusalem dan menghalau kuasa Kristian dari tanah Arab,” kata Mustaqeem.

Diusahakan dengan sokongan Pelan Pemulihan Ekonomi Jangka Pendek (Penjana), Perdukunan Melayu (John D Gimlette) turut laris. Berkhidmat dua dekad di Malaya, doktor perubatan itu meneroka perubatan Melayu tradisi.

Kerajaan Negeri juga menterjemah kitab tasawuf Purification of the Heart (Hamza Yusuf) dengan judul Penyucian Kalbu: Tanda Penyakit Hati dan Penawarnya. Buku ini olahan kitab Matharatul Qulub karangan tokoh sufi Muhammad Maulud Ya’qub.

Mustaqeem tidak menjangka SIBF kali kedua berjaya menarik suku juta pengunjung dalam tempoh 10 hari ke Pusat Konvensyen MBSA di Seksyen 13, Shah Alam, lokasi sama SIBF pada 2022.

“Penganjuran yang berbeza daripada pesta buku negeri lain menampakkan kesungguhan penganjur. Ia mencerminkan hasrat Kerajaan Selangor yang serius memasyarakatkan ilmu dan buku,” katanya.

IBDE antara 255 pempamer di SIBF. Ia juga berjaya menarik penyertaan pempamer dari negara luar antaranya United Kingdom, Turkiye, Macedonia Utara, Korea Selatan dan Mesir.

Pesta buku ini menempatkan 354 reruai jualan, selain pelbagai aktiviti menarik seperti perbincangan buku, diskaun menarik dan cabutan bertuah untuk pengunjung.

Pengarahnya Zafrullah Aris berkata pesta buku kali ini mendapat sambutan luar biasa dengan pengunjung dari pelbagai lapisan umur dan bangsa.

“Dari hari pertama nampak peningkatan ketara pengunjung berbanding tahun lepas (2022). Walaupun keadaan cuaca kurang mengizinkan, tetapi pengunjung tidak putus-putus hadir dan ini antara sedikit kejutan buat penganjur,” katanya.

10 judul IBDE terlaris di SIBF

  1. Muhammad: Riwayat Hidup Berdasarkan Sumber Terawal*
  2. Gelagat dan Ragam Orang Melayu**
  3. Umar Al-Khattab: Kebijaksanaan Sebagai Pedang**
  4. Salahuddin Al-Ayubi: Raja Penakluk*
  5. Perempuan Seribu Satu Malam**
  6. Perdukunan Melayu***
  7. Penyucian Kalbu: Tanda-Tanda Penyakit Hati dan Penawarnya**
  8. Muhammad: His Life Based on the Earliest Sources
  9. Tata Dunia: Punca Perang dan Damai Sepanjang Sejarah*
  10. Penyelamat Daripada Kesesatan*

* kerjasama dengan PPAS
** usahasama dengan Media Selangor
*** sokongan Penjana & MyCreative Ventures


Pengarang :