Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat pada Istiadat Perbarisan Menjunjung Kasih Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI di Dataran Panglima Tentera Darat Kem Perdana Sungai Besi pada 8 Januari 2024. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Agong, Raja Permaisuri berangkat ke istiadat sempena tamat pemerintahan 30 Januari

KUALA LUMPUR, 8 JAN: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat ke Istiadat Perbarisan Menjunjung Kasih hari ini.

Istiadat perbarisan berkenaan yang diadakan bersempena dengan tamat pemerintahan Al-Sultan Abdullah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Januari ini berlangsung di Kem Perdana, Sungai Besi di sini.

Al-Sultan Abdullah memegang tampuk kepimpinan negara selama lima tahun bermula 31 Jan 2019 selepas menggantikan Sultan Muhammad V iaitu Yang di-Pertuan Agong ke-15.

Kali terakhir istiadat sama diadakan adalah pada 2016 semasa Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah menamatkan tempoh sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14.

Istiadat itu melibatkan 40 pegawai dan 888 anggota lain-lain pangkat daripada ketiga-tiga ketumbukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) iaitu tentera darat, laut dan udara.

Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda berdua dimulakan dengan Hormat Diraja oleh anggota perbarisan yang diketuai Lt Kol Mohd Azamri Abdullah sebelum lagu Negaraku didendangkan oleh gabungan Pancaragam ATM selain Tembakan Kehormatan Artileri sebanyak 21 das turut mengiringi lagu kebangsaan.

Perbarisan juga menyaksikan terbang lintas hormat lima helikopter ATM yang masing-masing membawa Jalur Gemilang, bendera ATM, bendera tentera darat, udara dan laut.

Al-Sultan Abdullah kemudian berkenan memeriksa perbarisan dengan menaiki kenderaan pemeriksa.

Terdahulu, anggota perbarisan melaksanakan perbarisan berjalan lalu dalam masa perlahan dan laju sebelum mara menghadap pasangan diraja berkenaan.

Satu persembahan khas melibatkan seorang pegawai dan 306 anggota lain-lain pangkat membabitkan gabungan pancaragam pusat ATM bersama Drumline dan Brassband Tentera Darat turut memeriahkan Istiadat Perbarisan Menjunjung Kasih itu.

-BERNAMA


Pengarang :