Pemain beregu wanita Pearly Tan dan Valeree Siow beraksi ketika menentang beregu dari Korea Selatan Baek Ha Na dan Seong Seung Yeon pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam pada 19 Februari 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMASUKANKINI

Badminton Asia bermula 13 Februari, Selangor sekali lagi jadi tuan rumah

SHAH ALAM, 8 JAN: Selangor sekali lagi menjadi tuan rumah Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2024 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Setia Alam, di sini pada 13 hingga 18 Februari.

EXCO Sukan Najwan Halimi berkata lebih 300 pemain termasuk bertaraf dunia bakal berentap dalam kejohanan berprestij itu antaranya Jepun, China, Indonesia, Korea, Singapura, India dan Thailand.

“BATC menjadi medan untuk pemain terbaik Asia melayakkan mereka ke Piala Thomas dan Uber 2024 yang dijadual berlangsung Mei ini di Chengdu, China.

“Pemain negara yang dijangka beraksi ialah Lee Zhii Jia dan Aaron Chia bersama Soh Wooi Yik. Bagaimanapun, senarai pemain masih belum diputuskan,” katanya kepada Selangorkini.

Beliau berkata nama besar lain yang bakal menyertai BATC ialah pemain Jepun Akane Yamaguchi dan Kento Momota, China (Li Shifeng, Chen Yu Fei), India ( Prannoy HS, PV Sindhu), dan Indonesia (Anthony Sinisuka Ginting, Jonathan Christie).

Pada 2022, Selangor buat julung kali menjadi tuan rumah BATC yang diselaraskan Majlis Sukan Negeri Selangor dengan kerjasama Badminton Asia dan Persatuan Badminton Malaysia.

Dalam kejohanan selama enam hari, pasukan lelaki negara meraih juara manakala skuad wanita sekadar berpuas hati di tempat ketiga selepas tewas 0-3 kepada Korea Selatan.

Perlawanan berkenaan disertai 142 atlet lapan negara iaitu Malaysia, Indonesia, India, Korea Selatan, Jepun, Singapura, Hong Kong dan Kazakhstan.


Pengarang :