Situasi banjir di Kampung Pasir, Johor Bahru ketika tinjauan pada 1 Disember 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Mangsa bah di Johor, Pahang meningkat 8,578 setakat tengah hari ini

KUALA LUMPUR, 8 JAN: Jumlah mangsa banjir di Johor dan Pahang terus meningkat dengan sebanyak 8,578 mangsa berlindung di 78 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat 12 tengah hari ini berbanding 5,394 mangsa di 63 PPS, pagi tadi.

Menurut laporan terkini situasi banjir di seluruh negara dikeluarkan Pusat Kawalan Bencana Negara Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Johor mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 7,413 orang daripada 2,060 keluarga yang ditempatkan di 52 PPS di enam daerah berbanding 4,549 orang di 40 PPS setakat 8 pagi.

Menurut laporan itu, sebanyak 3,796 mangsa berlindung di 25 PPS di Kota Tinggi, diikuti Johor Bahru dengan 1,837 mangsa daripada 505 keluarga di 10 PPS, Kluang (1,635 mangsa daripada 501 keluarga, 14 PPS) serta masing-masing satu PPS di Kulai (86 mangsa daripada 23 keluarga), Pontian (17 mangsa daripada empat keluarga) dan Segamat (42 mangsa daripada 11 keluarga).

Di Pahang, situasi banjir semakin buruk membabitkan 1,165 mangsa daripada 316 keluarga berlindung di 26 PPS membabitkan tiga daerah berbanding 845 mangsa di 23 PPS pagi tadi.

Sebanyak 485 mangsa daripada 115 keluarga ditempatkan di 11 PPS, diikuti Rompin dengan 448 mangsa daripada 140 keluarga manakala di Pekan membabitkan 232 mangsa daripada 61 keluarga di tujuh PPS.

Selain itu, satu PPS dibuka di Kuching, Sarawak disebabkan oleh bencana kebakaran yang menempatkan 38 mangsa daripada 12 keluarga.

Sementara itu, tinjauan situasi status Stesen Telemetri Jabatan Pengairan dan Saliran pula mendapati beberapa sungai mencatatkan paras bahaya antaranya Sungai Kedah, Kota Setar di Kedah; Sungai Kelantan, Gua Musang, Kelantan dan lima sungai di Pahang iaitu Sungai Kuantan, Kuantan; Sungai Pahang di Pekan, Jerantut dan Maran dan Sungai Rompin, Rompin.

Batang Sadong, Serian di Sarawak serta Sungai Arau di Arau, Perlis turut berada dalam senarai paras bahaya.

Sementara itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) menerusi hantaran di Facebook hari ini melaporkan sebanyak 46 lokasi terkesan bencana iaitu 26 lokasi banjir, 12 lokasi cerun runtuh, tiga lokasi jambatan rosak dan runtuh serta satu lokasi jalan mendap.

JKR turut memaklumkan sebanyak 19 lokasi bencana dikesan di Johor, 16 di Pahang, satu di Selangor, tiga lokasi masing-masing di Perak dan Kelantan serta dua lokasi masing-masing di Kedah dan Terengganu.

— BERNAMA

 


Pengarang :