AGENDANASIONAL

Shopee Live rekod lebih 1 juta penstriman dari rakyat Malaysia

KUALA LUMPUR, 8 JAN: Shopee Live merekodkan penstriman lebih sejuta rakyat Malaysia sejak ditubuhkan pada 2019 selain lebih 450,000 penjual tempatan, pempengaruh dan ahli gabungan baharu telah dimasukkan ke dalam ekosistem pasarannya di seluruh negara dalam tempoh dua tahun selepas pandemik.

Platform e-dagang terkemuka Asia Tenggara serta Taiwan, Shopee berkata pada tahun ini sahaja, 80,000 penjual telah meningkatkan pendapatan sebanyak 25 peratus dari tahun ke tahun, manakala pesanan gabungan menokok 420 peratus dan pesanan penstriman secara langsung naik 500 peratus.

“Rakyat Malaysia yang membeli-belah dengan kami mempunyai hubungan langsung dengan penjual kami di Seller Chat, Shopee Live selain menerima kurier Shopee Xpress mereka di depan pintu.

“Jenama serta penjual Malaysia selari dengan platform kami kerana program Shopee Guarantee, Shopee Mall dan 360 Marketing Solutions membolehkan mereka menunjukkan nilai-nilai yang selari dengan nilai yang dipegang pelanggan lalu membawakan kesan positif kepada masyarakat,” kata Ketua Pemasaran Shopee Malaysia, Kenneth Soh.

Pada 2023, rakyat Malaysia berinteraksi dengan pempengaruh tempatan sebanyak 3.5 bilion kali di Shopee Live, yang telah menjadi saluran utama dalam menemui produk buatan tempatan.

Ini dimungkinkan melalui pelaburan dalam penyiaran studio berkualiti tinggi serta perkhidmatan strim langsung pempengaruh utama yang membawa kepada peningkatan dalam titik sentuh strim langsung dalam perjalanan pengguna, menghasilkan alat penstriman yang mampu mengoptimumkan strim langsung bagi transaksi.

Shopee ketika mengulas mengenai kerjasamanya dengan kerajaan dalam pembinaan komuniti berkata lebih 60,000 penjual perusahaan kecil dan sederhana (PKS) telah mendapat manfaat daripada perkongsian strategik Shopee dengan kementerian serta agensi kerajaan, termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Kementerian Pembangunan Luar Bandar serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

“Shopee giat memperjuangkan perniagaan kecil Malaysia, memupuk ekosistem digital pertama bagi PKS mikro (PKS), selaras dengan visi kerajaan untuk memperkasakan perniagaan tempatan.

“Shopee telah melaksanakan sepenuhnya cukai jualan ke atas barangan bernilai rendah yang diimport, dan merupakan pemangkin kepada pertumbuhan PKS mikro tempatan, mencerminkan komitmen bersama untuk mengukuhkan landskap perniagaan domestik melalui kerjasama proaktif dan penjajaran dengan langkah kawal selia,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Shopee University telah menjadi penggerak terpenting bagi usahawan tempatan, melengkapkan mereka dengan kemahiran dan pengetahuan untuk berkembang maju dalam pasaran mudah alih yang kompetitif.

Katanya lagi, inisiatif itu menyaksikan lebih 120,000 peserta dalam kelas harian, lebih 600 dilatih melalui bengkel luar talian dan lebih 650 dicapai melalui aktiviti penglibatan komuniti.

– BERNAMA


Pengarang :