Jentera Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) memasang bendera di Dewan Undangan Negeri (DUN) Semerang, Ayer Hitam sempena pilihan raya negeri Johor ketika tinjauan pada 3 Mac 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKIN
AGENDANASIONAL

Wanita KEADILAN kecam saranan Rosyam Nor buka pusat pelacuran

SHAH ALAM, 9 JAN: Cadangan pelakon Datuk Rosyam Nor untuk membuka pusat pelacuran bagi membendung pelakuan warga asing dalam jenayah rogol bertentangan sistem sosial di negara ini.

Timbalan Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Juwairiya Zulkifli menegaskan saranan itu jelik, merosakkan nilai institusi kekeluargaan, melanggar undang-undang dan ditegah Islam.

Beliau menyifatkan pemikiran sedemikian tidak boleh dinormalisasi dalam masyarakat lantaran cadangan itu berpotensi menjejaskan institusi kekeluargaan dan sistem sosial di negara ini.

“Polemik berkenaan isu dan masalah dalam kalangan pekerja warga asing di negara ini harus diselesaikan secara tuntas.

Timbalan Ketua Wanita KEADILAN Pusat Juwairiya Zulkifli berucap ketika majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya AMK dan Wanita KEADILAN Selangor di Padang Awam kampung Permatang, Kuala Selangor pada 9 Jun 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Namun, saranan ini adalah salah daripada segi undang-undang dan tidak menghormati Dasar Keluarga Negara,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Juwairiya menggesa wanita mahupun lelaki harus dihormati sebagai insan yang bermaruah dan bukannya objek untuk dimanipulasi atau didiskriminasi.

Semalam, Rosyam yang juga usahawan mengutarakan cadangan berkenaan dalam sesi audio siar (podcast) Hitam Putih Kehidupan yang dimuat naik ke TikTok Suhan Channel.

Cadangan itu turut mendapat bantahan pelbagai pihak termasuk Menteri Hal Ehwal Agama Mohd Na’im Moktar yang menegaskan kegiatan tersebut jenayah berat di sisi undang-undang Islam.


Pengarang :