Pemain Harimau Malaya meraikan jaringan ketika perlawanan persahabatan menentang Syria di Stadium Grand Hamad di Doha, Qatar pada 8 Januari 2024. Foto Facebook FAM
AGENDASUKANKINI

Pan Gon: Seri lawan Syria bukti Harimau Malaya mampu saing pasukan ranking tinggi

KUALA LUMPUR, 9 JAN: Pengendali skuad bola sepak kebangsaan Kim Pan Gon menyifatkan kejayaan skuad negara melakar keputusan seri 2-2 menentang pasukan 100 terbaik dunia, Syria pada aksi persahabatan merupakan satu permulaan positif, sebelum mengharungi kempen Piala Asia 2023.

Pan Gon berkata beliau amat berpuas hati dengan semangat juang dipamerkan barisan pemain Harimau Malaya menentang pasukan ranking ke-91 dunia itu pada perlawanan berlangsung secara tertutup di Stadium Grand Hamad di Doha, Qatar awal pagi tadi.

“Ia permulaan yang baik, kita dapat bersaing dengan pasukan di ranking 91 dunia. Saya gembira dengan persembahan pemain, terutama di separuh masa pertama.

“Di separuh masa kedua walaupun ketinggalan pada awalnya, pasukan kita dapat bangkit dan menamatkan perlawanan dengan keputusan 2-2,” katanya menerusi rakaman video yang dikongsikan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini.

Pengendali dari Korea Selatan itu berkata anak buahnya layak diberikan pujian memandangkan skuad negara hanya menjalani latihan tanpa sebarang aksi kompetitif sejak sebulan lepas.

“Ini perlawanan pertama (sejak sebulan) dan saya rasa persembahan mereka cukup baik. Bagi saya ia permulaan yang baik sebelum kempen bermula,” katanya.

Skuad negara yang menduduki ranking ke-130 dunia bermula garang apabila mendahului Syria 1-0 menerusi jaringan Arif Aiman Mohd Hanapi pada minit ke-39 dan kedudukan itu kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Bersambung di babak kedua, Syria yang diundi dalam Kumpulan B, bangkit mengatur serangan demi serangan sehingga berjaya meraih dua gol menerusi Pablo Sabbag pada minit ke-70 dan Ibrahim Hesar empat minit kemudian.

Skuad negara yang tidak berputus asa, terus mengatur serangan sebelum Pablo Josue berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-78 dan keputusan kekal sehingga tamat perlawanan.

Malaysia yang menamatkan penantian 42 tahun untuk layak ke Piala Asia secara merit akan memulakan kempen Kumpulan E menentang Jordan pada 15 Jan, diikuti Bahrain (20 Jan) dan juara dua kali Korea Selatan pada 25 Jan ini.

— BERNAMA


Pengarang :