EXCO Kebudayaan dan Warisan Borhan Aman Shah menerima koleksi piala dari Dato’ Mohmed Misbun Mohd Sidek sempena Majlis Perasmian Pameran Anak-anak Sidek di Muzium Sultan Alam Shah, Shah Alam pada 9 Januari 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Pameran Anak-anak Sidek di Muzium Sultan Alam Shah, sasar lebih 20,000 pengunjung

SHAH ALAM, 9 JAN: Lebih 20,000 pengunjung disasar hadir Pameran Anak-anak Sidek sepanjang enam bulan acara berlangsung di Auditorium Daeng Chelak, Muzium Sultan Alam Shah di sini.

EXCO Kebudayaan dan Warisan Borhan Aman Shah berkata pameran percuma bermula sejak November hingga April depan dihadiri lebih 5,000 pengunjung setakat ini dan angka dijangka meningkat apabila cuti sekolah bulan depan.

“Kita juga akan bekerjasama dengan pelbagai pihak termasuk institusi pendidikan untuk menarik pelajar berkunjung ke pameran ini. Malah ibu bapa boleh bawa anak untuk melihat sendiri kejayaan anak-anak Sidek dalam arena badminton antarabangsa.

“Kerajaan Negeri berharap kejayaan anak-anak Sidek memberi inspirasi dan menarik minat khususnya golongan muda terhadap sukan badminton,” katanya selepas merasmikan Pameran Anak-anak Sidek di Auditorium Daeng Chelak, Muzium Sultan Alam Shah di sini hari ini.

EXCO Kebudayaan dan Warisan Borhan Aman Shah melakukan gimik perasmian Pameran Anak-anak Sidek sambil disaksikan Dato’ Mohmed Misbun Mohd Sidek (kiri), Dato’ Mohd Jalani Mohd Sidek (kanan) serta Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri (PADAT) Dr Nadia Widyawati Madzhi di Muzium Sultan Alam Shah, Shah Alam pada 9 Januari 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Borhan turut berterima kasih kepada anak-anak Sidek kerana bersetuju mempamerkan koleksi pingat dan piala dimenangi di peringkat kebangsaan dan dunia yang disifatkan sebagai warisan negara.

“Koleksi yang diserah kepada Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri (PADAT) secara tetap dan pinjaman amat dihargai. Semoga ia menjadi galakan kepada pihak lain untuk menyumbang koleksi peribadi yang ada nilai sejarah kepada pihak muzium,” katanya.

Pameran Anak-anak Sidek yang diadakan sehingga 30 April depan menceritakan kisah kejayaan keluarga Datuk Sidek Abdullah Kamar yang berjaya membentuk lima anak lelakinya sebagai pemain badminton ternama dunia.

Allahyarham hanya melatih Misbun, Razif, Jalani, Abdul Rahman dan Abdul Rashid di gelanggang kediamannya di Kampung Kanchong Darat, Banting, Kuala Langat.

Antara koleksi dipamerkan adalah pingat kejuaraan kejohanan dunia World Cup Badminton, Men Doubles Winne, All England, Komanwel, Sukan Asia, Sukan Sea dan cenderamata dihadiahkan kepada mereka lima beradik.

Sebagai tarikan, sepanjang pameran itu berlangsung turut diadakan pertandingan teka bulu tangkis, kuiz, pertandingan mewarna dan klinik badminton.

Dato’ Mohmed Misbun Mohd Sidek (kiri) dan Dato’ Mohd Jalani Mohd Sidek (kanan) melakukan gimik ketika perasmian Pameran Anak-anak Sidek di Muzium Sultan Alam Shah, Shah Alam pada 9 Januari 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
EXCO Kebudayaan dan Warisan Borhan Aman Shah dan tetamu melawat Pameran Anak-anak Sidek di Muzium Sultan Alam Shah, Shah Alam pada 9 Januari 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
Orang ramai melawat Pameran Anak-anak Sidek di Muzium Sultan Alam Shah, Shah Alam pada 9 Januari 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Pengarang :