Lagenda Badminton Negara Datuk Mohmed Misbun Dato’ Mohd Sidek melakukan servis badminton sebagai gimik ketika Majlis Perasmian Pameran Anak-anak Sidek di Auditorium Daeng Chelak, Muzium Sultan Alam Shah, Shah Alam pada 9 Januari 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDASUKANKINI

Misbun nasihat pemain kuatkan mental, buru kejuaraan dalam Terbuka Malaysia

SHAH ALAM, 9 JAN: Bekas pengarah kejurulatihan perseorangan remaja Akademi Badminton Malaysia (ABM) menasihatkan pemain negara untuk terus menguatkan mental dan fizikal bagi menghadapi kejohanan Terbuka Malaysia 2024.

Datuk Misbun Sidek berkata aspek berkenaan penting bagi memastikan pemain mencipta kemenangan sekali gus menamatkan kemarau enam tahun untuk menggunguli kejohanan berkenaan yang membuka tirainya hari ini.

“Pemain badminton Malaysia mempunyai peluang yang sama dengan pemain negara lain untuk memenangi kejohanan itu cuma mereka perlu kuat dari aspek fizikal dan mental.

“Mereka perlu menjalani latihan bersungguh-sungguh kerana saya lihat, pemain negara lain kini telah bersedia dari segi aspek tersebut.

“Jadi pemain Malaysia kena kuat supaya mereka boleh bersaing dengan pemain negara lain,” katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian Pameran Anak-anak Sidek di Muzium Sultan Alam Shah, di sini hari ini.

EXCO Kebudayaan dan Warisan Borhan Aman Shah (dua,kiri) melakukan gimik perasmian Pameran Anak-anak Sidek sambil disaksikan Lagenda Badminton Negara Datuk Mohmed Misbun Dato’ Mohd Sidek (kiri) dan Lagenda Badminton Negara Dato’ Mohd Jalani Dato’ Mohd Sidek (kanan) serta Ketua Pegawai Elsekutif Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri (PADAT) Dr Nadia Widyawati Madzhi (dua,kanan) di Muzium Sultan Alam Shah, Shah Alam pada 9 Januari 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Selain mengikut taktikal direncanakan jurulatih, Misbun berkata pemain juga perlu menggunakan kebijaksanaan dan corak permainan sendiri ketika menentang pihak lawan.

“Ketika melatih Datuk Lee Chong Wei, saya akan siapkan beliau taktikal, bukan sahaja kepada lawan yang akan ditemuinya pada pusingan pertama, tetapi juga taktikal kepada lawan yang bakal ditemuinya di peringkat seterusnya.

“Dalam hal ini, jurulatih memainkan hal penting untuk merencanakan taktikal sesuai kepada anak buahnya supaya anak buahnya boleh menang,” tegas bekas pemain kebangsaan itu.

Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia berlangsung di Axiata Arena membuka tirainya hari ini hingga 14 Januari.

Kali terakhir pemain negara mengungguli Terbuka Malaysia adalah pada 2018 menerusi legenda badminton Datuk Lee Chong Wei.

Chong Wei juga pernah mendominasi Terbuka Malaysia pada edisi 2004-2006 dan 2008-2014 serta 2016.


Pengarang :